MELAKA, 10 Ogos — Kerajaan negeri menyasarkan Melaka akan beralih kepada Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang hujung bulan ini, berpandukan indikator nilai ambang yang baharu.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, antara kriteria yang diambil kira itu ialah mampu mencapai jumlah pemberian vaksinasi lengkap dua dos sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Katanya Melaka memerlukan sekurang-kurangnya 15 peratus lagi penduduk untuk mencapai sasaran itu, berikutan jumlah dos yang diberikan setakat semalam adalah 35.3 peratus penduduk telah lengkap dos kedua manakala 62.6 peratus telah menerima suntikan dos pertama.

“Dalam sidang Majlis Keselamatan Negara (MKN) nilai, ambang (baharu) itu telah diputuskan berdasarkan jumlah kes COVID-19 kategori tiga, empat dan lima yang dimasukkan ke dalam hospital, mestilah berada di paras bawah 12.2 kes berbanding 100,000 penduduk.

“Ia juga diambil kira bagi kes harian bacaan selama satu minggu berbanding sebelum ini, untuk peralihan Fasa Dua PPN berdasarkan jumlah kes harian, kes rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan suntikan vaksin 10 peratus,” katanya kepada pemberita selepas hadir pada progam pemberian ubi dan rambutan kepada penduduk sekitar di Kampung Bukit Nibong, Paya Dalam di sini hari ini.

Baru-baru ini, Menteri Penyelaras PPN Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, bilangan kemasukan baharu ke hospital bagi kes COVID-19 bergejala iaitu kategori tiga, empat dan lima, akan digunakan sebagai indikator, bagi peralihan fasa di bawah PPN untuk negeri di dalam fasa satu yang telah mencapai kadar vaksinasi, sekurang-kurangnya 50 peratus penduduk dewasa.

Tengku Zafrul berkata ia susulan Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara dan Majlis Pemulihan Negara (MPN) yang dipengerusikan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang memutuskan untuk menggunakan indikator itu sebagai satu daripada indikator bagi peralihan fasa PPN.

Dalam pada itu Rahmad berkata, pihaknya telah memohon kepada Kementerian Kesihatan untuk menempatkan kontena di Hospital Melaka, bagi menyimpan mayat individu yang meninggal dunia disebabkan COVID-19.

Katanya, ia berikutan peningkatan kes kematian dan penggunaan bilik simpanan mayat di hospital terbabit berada pada tahap maksimum.

“Walaupun ia tidak kritikal namun 22 daripada 26 peti simpanan mayat telah digunakan, jadi kontena itu diperlukan untuk kita buat persediaan sekiranya terdapat kes-kes baharu.

“Kita juga telah dihubungi individu tertentu yang ingin menyumbangkan kontena dan akan ditempatkan di Jabatan Forensik,” katanya.

Rahmad berkata, Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan dibangunkan dalam masa terdekat, dan dijangka siap dalam tempoh 10 hari berhampiran Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Melaka, yang mampu menampung sebanyak 64 katil.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here