TAPAH, 12 Ogos  — Sehingga kini, seramai 784 penduduk Orang Asli di Mukim Bidor yang berada di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) didapati positif COVID-19 manakala lapan orang telah meninggal dunia akibat jangkitan wabak itu.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata data itu berdasarkan saringan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Batang Padang ke atas 5,165 penduduk di Kampung Senta, Kampung Chang dan Kampung Sanding sepanjang tempoh PKPD yang mula berkuat kuasa semalam.

“Kita akan membuat kawalan sepenuhnya sehingga PKD selesai buat saringan ke atas penduduk Orang Asli di daerah Batang Padang,” katanya kepada pemberita selepas meninjau pelaksanaan PKPD di Batu 7, Jalan Pahang di sini hari ini.

Pada Isnin, Menteri Kanan Kluster Keselamatan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata PKPD di 23 perkampungan Orang Asli suku Semai di daerah Batang Padang dilaksanakan serentak bermula semalam hingga 24 Ogos ini.

Mior Faridalathrash juga berkata pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai tindakan penduduk Orang Asli menggunakan laluan tikus untuk melarikan diri dari kawasan PKPD.

Beliau berkata penduduk telah diberi penerangan mengenai kesan dan akibat pelanggaran undang-undang kerana kampung sememangnya mempunyai banyak laluan tikus serta lorong namun orang ramai dilihat memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang bertugas di kawasan PKPD.

Komuniti Orang Asli di kawasan itu juga dibenarkan membawa keluar hasil tanaman mereka untuk dipasarkan namun perlu dihantar ke Pos Kawalan PKPD berhampiran dan diambil oleh pemborong atau pembeli di situ.

Mior Faridalathrash berkata kebenaran itu diberikan kerana tidak mahu penduduk Orang Asli yang menyara kehidupan dengan menjual hasil tanaman mengalami kerugian apabila berlaku lambakan dan kerosakan hasil tanaman mereka.

“Kita ada membuat perbincangan dengan beberapa pihak dan kita telah bersetuju untuk membenarkan penduduk Orang Asli menghantar hasil tanaman mereka ke pos kawalan kerana mereka sama sekali tidak dibenarkan keluar dari kawasan PKPD,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here