KUCHING, 14 Ogos — Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) Kuching memperkenalkan kemudahan kotak serahan (drop box) bagi transaksi pembaharuan lesen perniagaan bermula Isnin depan.

LHDN dalam satu kenyataan memaklumkan usaha itu diambil bagi meningkatkan kecekapan penyampaian perkhidmatan terutama dalam tempoh penularan pandemik COVID-19.

LHDN memaklumkan buat masa ini fokus juga hanya diberikan kepada transaksi pembaharuan lesen perniagaan kerana ia adalah perkhidmatan yang sering dimohon oleh pelanggan.

“Tatacara pelaksanaan Kotak Serahan Pembaharuan Lesen Perniagaan Kuching ini boleh dirujuk di laman web https://spnp.hasil.gov.my,” menurut LHDN.

Mengenai risiko kelewatan pelanggan untuk memperbaharui lesen perniagaan mereka, LHDN memaklumkan kerajaan negeri Sarawak telah bersetuju untuk tidak mengenakan penalti lewat memperbaharui lesen perniagaan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, langkah itu dapat membantu mengurangkan beban komuniti perniagaan yang terkesan akibat penularan COVID-19 dan seterusnya mampu memulihkan pertumbuhan ekonomi Sarawak.

LHDN memaklumkan sejak PKP diperkenalkan, LHDN telah menghadkan bilangan kehadiran pelanggan ke semua kaunter perkhidmatan sesuai juga dengan bilangan pegawai di kaunter.

Menurutnya, sistem janji temu juga diperkenalkan agar kehadiran pelanggan dapat dikawal dan pematuhan kepada semua prosedur operasi standard (SOP).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here