KUALA LUMPUR, 13 Ogos — Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung Julai tahun depan bergantung kepada situasi pandemik COVID-19 yang melanda negara, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Perdana Menteri berkata itu adalah akujanjinya dan adalah wajar untuk memulangkan semula mandat kepada rakyat bagi memilih kerajaan yang baharu.

“Saya tidak berhasrat untuk terus berpaut pada dahan kuasa. Dalam keadaan ini, adalah wajar mandat dipulangkan semula kepada rakyat untuk memilih kerajaan yang baharu apabila tiba masa yang lebih sesuai. 

“Justeru, bergantung kepada situasi pandemik, saya membuat akujanji bahawa pilihan raya umum ke-15 akan diadakan selewat-lewatnya pada penghujung bulan Julai tahun hadapan,” katanya dalam ucapan khas Bersama Memulihkan Negara yang disiarkan di stesen televisyen tempatan hari ini.

“Sebagai seorang manusia, sudah pasti saya tdak terhindar daripada kelemahan dan kekurangan lebih-lebih lagi dalam keadaan memikul tanggungjawab sebagai Perdana Menteri ketika negara berdepan dengan pandemik luar biasa sejak lebih setahun yang lepas,” katanya.

Perdana Menteri berkata beliau memerlukan sokongan dan dukungan daripada rakan-rakan dalam kabinet, pimpinan kerajaan negeri, pegawai-pegawai kerajaan, petugas barisan hadapan dan rakyat untuk membolehkannya melaksanakan tanggungjawab membawa negara keluar daripada krisis. 

“Tidak kurang pentingnya ialah sokongan rakan-rakan Ahli Parlimen dalam kerajaan Perikatan Nasional, yang mana dengan sokongan merekalah saya berada di sini pada hari ini. Keabsahan saya sebagai Perdana Menteri ditentukan oleh sokongan majoriti Ahli-Ahli Parlimen.

“Namun, malangnya dalam keadaan saya dan rakan-rakan dalam Kabinet berhempas pulas mengurus pandemik, beberapa Ahli Parlimen telah menarik sokongan kepada saya. Ini menimbulkan keraguan tentang keabsahan saya sebagai Perdana Menteri dan kedudukan kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan yang memerintah,” katanya.

Muhyiddin berkata mengikut Perlembagaan Persekutuan beliau mempunyai dua pilihan iaitu memohon perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan seterusnya mengadakan pilihan raya, atau meletak jawatan.

“Saya patuh kepada Perlembagaan dan akan mengambil jalan yang terhormat untuk menyelesaikan kemelut politik yang sedang berlaku. Namun, sehingga saat ini tiada seorang pun Ahli Dewan Rakyat lain yang dapat membuktikan dia mendapat sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat untuk membolehkan Yang di-Pertuan Agong melantik Perdana Menteri baharu,” katanya.

Muhyiddin berkata jika beliau mengambil jalan paling mudah dengan meletak jawatan, maka menurut Perlembagaan Persekutuan Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan seluruh anggota Jemaah Menteri, sekali gus kerajaan Perikatan Nasional yang mentadbir negara pada masa ini akan jatuh.

Menurut beliau, dalam keadaan tiada seorang pun Ahli Parlimen yang mendapat sokongan majoriti pada masa ini, Perdana Menteri baharu tidak boleh dilantik.

“Apabila Perdana Menteri tidak boleh dilantik, maka Kabinet pun tidak boleh dilantik dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk.

“Apa akan jadi kepada negara kita sekiranya krisis politik berlarutan dan kerajaan baharu tidak dapat dibentuk dalam kadar segera? Kerajaan mana yang akan memastikan program vaksinasi berjalan lancar dan mengikut jadual?” soalnya.

Beliau berkata tempoh dua bulan akan datang adalah amat genting, negara akan mencapai imuniti kelompok pada Oktober ini jika semua perancangan kerajaan dapat dilaksanakan seperti dijadualkan.

“Sekiranya terganggu dengan kemelut politik yang tidak berkesudahan dan kerajaan yang sah tidak dapat dibentuk, sasaran imuniti kelompok tidak akan dapat dicapai dan nyawa rakyat akan terus berada dalam bahaya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here