KUALA LUMPUR, 14 Ogos — Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL) akan menggunakan menggunakan tiga kem induk ECRL di negeri-negeri Pantai Timur sebagai Pusat Pemberian Vaksin Industri (PPVIN) untuk suntikan vaksin COVID-19 kepada kira-kira 6,500 kakitangan dan pekerja tapak binaan.

MRL dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini berkata langkah itu akan mempercepatkan proses vaksinasi COVID-19 dalam sektor pembinaan dan pengangkutan.

Ketua Setiausaha Kementerian Pengangkutan Datuk Isham Ishak berkata kem-kem induk ECRL di Dungun dan Chukai, Terengganu serta Maran, Pahang akan beroperasi sebagai PPVIN seiring dengan strategi Pelan Pemulihan Negara (PPN) dalam memastikan sektor ekonomi kembali pulih menjelang hujung tahun ini.

“MRL sebagai pemilik projek ECRL berpuas hati dengan keputusan Jawatankuasa Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) yang telah meluluskan permohonan cadangan penggunaan tiga kem induk ECRL untuk beroperasi sebagai PPVIN dan juga menyediakan bekalan vaksin yang mencukupi untuk tujuan vaksinasi kakitangan ECRL.

Kelulusan tersebut membolehkan pemberian suntikan dos pertama kepada pekerja-pekerja ECRL pada bulan ini,” katanya.

Isham berkata MRL bersama-sama dengan kontraktor utama projek ECRL, China Communications Construction (ECRL) Sdn Bhd (CCC-ECRL) akan menanggung semua kos proses vaksinasi bagi pekerja-pekerja ECRL termasuk caj penyediaan PPVIN dan yuran pentadbiran kepada pengamal am perubatan swasta dan pegawai-pegawai perubatan terlibat.

Sementarai itu MRL berkata proses vaksinasi dijadualkan akan dilaksanakan di Kem Induk ECRL Dungun pada 16-18 Ogos 2021 dan di Kem Induk ECRL Chukai pada 16 dan 17 Ogos 2021 manakala proses vaksinasi untuk pekerja-pekerja ECRL di Kem Induk ECRL Maran akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

“MRL dan CCC-ECRL sedar betapa pentingnya bagi semua kakitangan projek ECRL mendapat imunisasi secepat mungkin kerana ianya akan memberi impak yang positif terhadap kerja-kerja pembinaan yang kini bertumpu di 164 lokasi utama termasuk pengorekan 10 buah terowong.

“Bilangan lokasi utama ini dijangka akan meningkat kepada 338 lokasi termasuk pengorekan 27 buah terowong apabila pembinaan ECRL mencapai kemuncak pada tahun 2022,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here