IPOH, 14 Ogos  — Kerajaan negeri Perak telah mengemukakan cadangan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) supaya aktiviti ‘dine-in’ (makan dalam premis) hanya dibenarkan setelah pekerja premis makanan serta hotel sudah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad berkata ia perlu dilaksanakan bagi mengekang penularan COVID-19 daripada terus berleluasa kerana apabila kesemua pekerja premis makanan dan hotel telah lengkap divaksinasi, ia mampu menjamin keselamatan pelanggan yang datang ke premis tersebut.

“Semalam, semasa saya mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) COVID-19, saya telah mengemukakan cadangan balas balik kepada Jawatankuasa Teknikal MKN  kerana kita berpendapat adalah lebih baik sekiranya pekerja restoran atau hotel keseluruhannya hendaklah terlebih dahulu menerima vaksin.

“Jadi, saya berharap MKN mengambil kira cadangan balas daripada kerajaan negeri Perak,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Pos Kawalan Tempat Kejadian (PKTK) Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Taman Meru 2B di sini hari ini.

Ahad lalu, Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam pengumuman khas berkata makan di premis dibenarkan bagi individu yang telah lengkap divaksin bermula 10 Ogos lalu di negeri-negeri yang telah beralih dari Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata pihaknya sedang mempertimbangkan untuk melaksanakan  pemberian vaksin COVID-19 secara jumpa terus atau ‘walk-in’ di pusat pemberian vaksin (PPV) bagi golongan dewasa berumur 18 tahun ke atas.

Beliau berkata pihaknya meneliti beberapa faktor antaranya bekalan vaksin yang cukup serta jumlah sasaran keseluruhan penerima vaksin.

“Kita tidak mahu vaksin secara walk-in ini nanti menyebabkan orang ramai serbu ke tempat pemberian vaksin dalam satu-satu masa,” katanya.

Perak melaksanakan pemberian vaksin COVID-19 secara ‘walk-in’ di PPV awam bagi golongan warga emas bermula 3 Ogos lalu.

Dalam pada itu, Saarani berkata Perak dijadualkan menerima 1.013 juta dos vaksin pada bulan ini dengan 150,720 dos sudah diterima setakat ini manakala selebihnya akan tiba secara berperingkat. 

“Sekiranya tiba mengikut seperti dijadualkan, ia adalah jumlah vaksin tertinggi diterima oleh negeri Perak setakat ini berbanding 824,320 dos yang diterima sepanjang bulan lalu.

“Jika jumlah itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya, Perak mampu mencapai syarat ketiga nilai ambang, iaitu kadar vaksinasi COVID-19 mencecah 40 peratus menjelang bulan September untuk beralih ke Fasa Tiga PPN, ” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here