SIK, 18 Ogos — Polis Kedah meningkatkan pemantauan ke atas individu menjalani kuarantin di rumah bagi mengelak mereka keluar ke kawasan awam yang boleh menyebabkan penularan COVID-19 di negeri ini.

Ketua Polis Kedah Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata pihaknya telah mewujudkan pasukan pemantau yang akan melakukan pemantauan secara berkala sebanyak tiga kali sehari ke kediaman individu menjalani kuarantin.

“Ia merupakan strategi terbaharu polis bagi mencegah penularan COVID-19 yang meningkat ketika ini (di Kedah). Kita ubah strategi pemantauan dengan menubuhkan beberapa pasukan untuk mengawal selia mereka yang dikuarantin di rumah.

“Kita hantar pasukan memantau pada pagi, petang dan malam untuk pastikan individu dikuarantin sentiasa kekal berada di rumah,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan barangan keperluan menerusi Op Bantu kepada beberapa penerima di sekitar daerah ini hari ini.

Kamarul Zaman berkata pemantauan berkala itu dilakukan sejak 20 hari lepas, dan setakat ini hanya seorang individu yang memakai gelang merah jambu dikesan ingkar arahan kuarantin dan ditahan ketika berada di luar rumah.

Beliau sehubungan itu meminta orang ramai agar menjadi ‘mata dan telinga’ kepada pihak polis dengan melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengetahui mana-mana individu yang ingkar arahan kuarantin.

Selain itu, beliau turut menyeru individu yang menjadi kontak rapat kepada kes positif COVID-19 untuk segera menjalani ujian saringan supaya jangkitan dapat dikesan lebih awal dan penularan wabak itu dapat dibendung.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here