KUALA LUMPUR, 19 Ogos  — Parti Perikatan Nasional (PN) sebulat suara bersetuju mencalonkan mantan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri kerajaan PN yang baharu dengan bersyarat, kata Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Muhyiddin yang juga Perdana Menteri Sementara berkata, sekiranya dilantik menjawat jawatan itu oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Ismail Sabri perlu memastikan Ahli Jemaah Menteri yang bakal dilantik nanti adalah mereka yang berintergriti, amanah dan bebas daripada sebarang pertuduhan jenayah.

“Kerajaan di bawah pimpinan beliau juga mestilah meneruskan amalan menghormati prinsip pengasingan kuasa, melindungi kebebasan badan kehakiman dan menjunjung konsep Raja Berpelembagaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Muhyiddin berkata sebelum itu, semua 50 Ahli Dewan Rakyat dari parti gabungan PN iaitu 31 Ahli Dewan Rakyat Bersatu, PAS (18), Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) (seorang), Bebas pro PN (empat) telah menyerahkan Akuan Bersumpah ke Istana Negara semalam, bagi menyatakan sokongan kepada Ismail Sabri.

Menurutnya keputusan untuk mencalonkan Naib Presiden UMNO itu dilakukan demi kesinambungan dasar-dasar kerajaan PN, yang sedang menumpukan kepada usaha memerangi COVID-19 dan memulihkan negara sehingga tiba masa yang sesuai untuk diadakan Pilihan Raya Umum.

Keputusan itu, juga katanya membuktikan kerajaan PN lebih mengutamakan kestabilan politik dan kesejahteraan rakyat, berbanding politik dendam dalam persaingan merebut kuasa.

Beliau berkata ia kerana apabila berhadapan dengan situasi krisis, ahli politik mesti berjiwa besar demi kepentingan rakyat dan negara.

Pada masa sama, Muhyiddin turut berharap supaya proses pelantikan perdana menteri baharu dapat berjalan lancar dan dimuktamadkan dalam masa terdekat, mengikut kehendak Perlembagaan Persekutuan.

“Selaku Pengerusi PN, saya akan meneruskan khidmat bakti kepada rakyat dan mempersiapkan parti bagi menghadapi PRU ke-15 apabila tiba masanya,” katanya.

Isnin lalu, Muhyiddin meletak jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia kelapan selepas hilang majoriti sokongan Ahli Parlimen dan rangka kerjasama bipartisan yang dicadangkannya juga tidak mendapat sokongan sepenuhnya Ahli Parlimen.

Berikutan itu Al-Sultan Abdullah menitahkan supaya semua Ahli Dewan Rakyat supaya menghantar surat akuan kepada Istana Negara dan menamakan calon pilihan untuk dilantik sebagai Perdana Menteri yang kesembilan selewat-lewatnya jam 4 petang semalam.

Baginda juga bertitah Perdana Menteri yang dilantik hendaklah mengemukakan usul undi percaya secepat mungkin di Dewan Rakyat, untuk menentukan keabsahannya dan mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here