GEORGE TOWN, 21 Ogos — Pulau Pinang menyasarkan untuk mevaksin 12,000 penjaja dan peniaga kecil menerusi Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) yang akan bermula 30 Ogos.

Program MOVAK merupakan hasil kerjasama antara pejabat Sekretariat Pulau Pinang, Pasukan Petugas Imunisasi COVID-19 (CITF), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP).

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang Jagdeep Singh Deo berkata program MOVAK disasar untuk memberikan vaksin COVID-19 secara percuma bagi penjaja dan peniaga kecil serta pekerja masing-masing di Pulau Pinang.

Beliau berkata 10 bas yang diubah suai akan digunakan bagi menjayakan Program MOVAK dan ia akan dilaksanakan di lima lokasi pada 30 Ogos, 1 dan 2 Sept.

“Lima lokasi yang dikenal pasti bagi program itu terdiri daripada Dewan Datuk Haji Ahmad Badawi di Seberang Perai Utara, Kompleks Sukan Jalan Betek (Seberang Perai Tengah), Stadium Batu Kawan (Seberang Perai Selatan), Stadium Bandaraya Pulau Pinang Penang (Utara) dan Dewan Perda (Barat Daya),” katanya dalam persidangan media di sini hari ini.

Sementara itu Datuk Bandar MBPP Datuk Yew Tung Seang berkata kerajaan negeri sedang menimbangkan untuk mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat bagi penjaja dan peniaga kecil di pasar-pasar malam.

Beliau berkata pihaknya mungkin mencadangkan supaya hanya penjaja dan peniaga kecil yang melengkapkan pengambilan dua dos vaksin sahaja untuk beroperasi di pasar-pasar malam.

“Oleh kerana kebiasannya pasar malam mudah sesak dan mereka yang hadir berada dalam keadaan rapat antara satu sama lain, kita hendak pastikan bahawa pasar malam adalah selamat bagi semua pengunjung dan peniaga.

Beliau berkata pengumuman lanjut mengenai perkara itu akan dibuat di laman Facebook MBPP.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here