PUTRAJAYA, 23 Ogos — Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) menyediakan 10 buah bas yang berfungsi sebagai pusat pemberian vaksin (PPV) bergerak untuk melaksanakan Program Mobilisasi Vaksin Komuniti (MOVAK) di Perlis, Kedah dan Pulau Pinang bermula hari ini sehingga 2 Sept depan.

Pengerusi PR1MA Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata PPV bergerak itu akan memberikan manfaat kepada 7,500 penduduk di Perlis, 5,000 di Kedah dan 11,000 di Pulau Pinang.

“Peranan PR1MA ini diharap dapat membantu dalam meningkatkan kadar vaksinasi dengan  memudahkan akses penduduk setempat kepada vaksin yang sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Shahidan berkata PR1MA mendukung aspirasi negara dalam menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) melalui MOVAK yang merupakan inisiatif di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Program MOVAK Perlis bermula hari ini sehingga Rabu (25 Ogos) di Dataran MPK Pauh; Dewan Felda Mata Ayer; Dewan Padang Semarak; Dewan Pusat Internet Batas Lintang Simpang Empat; Pusat Khidmat Kubang Gajah dan Dataran Mentalon.

Di Kedah program MOVAK dijalankan pada 27 dan 28 Ogos di Stadium Kulim; Dewan Bandar Laguna Merbuk, Sungai Petani dan Dewan Jitra, Kubang Pasu.

Di Pulau Pinang pula, program dilaksanakan pada 30 Ogos hingga 2 Sept di Dewan Dato’ Haji Ahmad Badawi (Seberang Perai Utara); Kompleks Sukan Jalan Betek (Seberang Perai Tengah); Stadium Batu Kawan (Seberang Perai Selatan); Stadium Bandaraya (Timur Laut) dan Dewan Perda Teluk Kumbar (Barat Daya).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here