SEREMBAN, 31 Ogos — Seluruh rakyat Negeri Sembilan perlu sentiasa berjiwa patriotik, sayangkan tanah air dan bersemangat dalam menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan pada tahun ini meskipun diraikan secara sederhana dalam membendung penularan COVID-19.

Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun berkata kekuatan dan jati diri yang dibina selama ini dengan setiap tahun negara memperingati Hari Kebangsaan, seharusnya menjadikan rakyat lebih bersatu padu bagi membentuk masa hadapan yang gemilang.

“Sambutan kali ini kita buat secara amat sederhana kerana mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara, namun yang penting rakyat terus bersemangat dalam membangun dan membina semula negara, insya-Allah.

“Kita mungkin akan hidup dalam keadaan berbeza selepas ini tetapi semangat untuk negara kembali bangkit dan maju perlu ada dalam diri, saya yakin rakyat  tetap sayangkan negara kerana kita masih hidup aman,” katanya kepada pemberita selepas Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Sembilan 2021 di pekarangan Wisma Negeri, di sini hari ini.

Sambutan kali ini diadakan secara tertutup dan sederhana dengan mematuhi SOP yang ketat tanpa perarakan seperti kelaziman selain turut disiarkan secara langsung di Facebook rasmi kerajaan negeri bagi membolehkan rakyat Negeri Sembilan ‘meraikannya’ secara maya.

Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud berkenan berangkat ke majlis berkenaan.

Sambutan yang diadakan secara ringkas itu turut dihadiri kira-kira 60 tetamu termasuk Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Datuk Shahbandar Sungei Ujong selain pemimpin negeri, ketua jabatan serta petugas barisan hadapan.

Majlis yang berlangsung kira-kira setengah jam itu dimulai dengan bacaan doa oleh Mufti negeri Datuk Mohd Yusof Ahmad, diikuti bacaan Ikrar Rukun Negara yang diketuai Aminuddin dan upacara menaikkan Jalur Gemilang serta nyanyian lagu Negaraku.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here