SHAH ALAM, 30 Ogos — Kerajaan negeri Selangor sedang menimbangkan untuk meminjamkan simpanan vaksin COVID-19 yang dibeli untuk kegunaan Program Vaksin Selangor (SelVAX), kepada sebuah lagi negeri, kata Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari.

Tanpa mendedahkan negeri tersebut, beliau berkata buat masa ini pihaknya sedang menunggu keputusan daripada Pasukan Petugas Khas Imunisasi COVID-19 (CITF) berhubung kebenaran pinjaman vaksin berkenaan.

“Kalau CITF benarkan dan ada jaminan pemulangan balik, kami tidak ada masalah untuk beri pinjaman kepada negeri tersebut kerana simpanan yang kami ada itu disiapkan untuk suntikan dos ketiga (booster shot),” katanya kepada pemberita di lobi Dewan Negeri Selangor pada sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), di sini hari ini.

Pada 19 Ogos lalu, media melaporkan Selangor meminjamkan stok 500,000 dos vaksin untuk kegunaan program SelVAX kepada CITF supaya dapat digunakan di beberapa negeri yang mengalami peningkatan kes tinggi dan mendadak.

Pada 26 Ogos, kerajaan Pulau Pinang mengumumkan bahawa Selangor telah bersetuju untuk meminjamkan 200,000 dos vaksin COVID-19 bagi tujuan vaksinasi baki penduduk negeri itu yang masih belum menerima suntikan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here