KUALA LUMPUR, 1 Sept — Syarikat perladangan dan perniagaan tani, Kulim (M) Bhd memperkenalkan rancangan transformasi lima tahunnya untuk menjadi peserta perniagaan tani terkemuka menjelang 2025.

Sebagai sebahagian rancangan itu, Kulim menyasar untuk memperkukuh perniagaan teras, mencipta pertumbuhan baharu, mempertingkatkan  kecemerlangan operasi di seluruh kumpulan di samping mengorak laluan bagi tawaran awam awal (IPO) pada 2024.

Pengarah Urusan, Mohd Faris Adli Shukery berkata matlamat beliau adalah supaya Kulim memperkukuh kedudukan sebagai peserta perniagaan tani terkemuka dan teguh bukan hanya sebagai legasi mampan malah menjadi organisasi berdaya tahan, yang dibina atas kepercayaan dan landasan yang tepat untuk generasi akan datang.

Kulim kini melalui fasa transformasi dan terdapat lima keperluan strategik di bawah usaha itu, katanya semasa menyampaikan ucaptama sempena ulang tahun ke-88 Kulim dan pengenalan logo baharu secara dalam talian pada Rabu.

Beliau berkata ia merangkumi memperkemas struktur perniagaan dan organisasi;  memperkukuh perniagaan teras; mengembangkan perniagaan menerusi langkah memanfaatkan kualiti aktiviti perniagaan tani yang dijalankan syarikat;  menambah baik kecemerlangan operasi; serta menyenaraikan syarikat di bursa saham.

Langkah memperkemas struktur perniagaan akan termasuk penjualan perniagaan dan aset bukan teras; menutup syarikat tidak aktif; serta memperteguh struktur organisasi, yang dijangka selesai menjelang akhir tahun ini, katanya.

Mohd Faris berkata selain memperluas aktiviti huluan, tanaman bernilai tinggi dan bidang pertumbuhan baharu — khususnya pengurusan ternakan dan penternakan bersepadu atau pintar — Kulim juga menceburi aktiviti hiliran yang boleh meraih margin daripada rantaian nilai keseluruhan.

“Apabila menyertai hiliran, pihak-pihak akan menyedari Kulim ialah peneraju penawaran dan pengeluaran minyak sawit yang diperakui,” katanya sambil memaklumkan aspirasinya untuk syarikat itu turut mempunyai minyak masak sendiri pada masa depan.

Mengulas paras harga minyak sawit mentah, beliau berkata harga minyak sawit ketika ini sememangnya tinggi.

“…kita tidak menjangkakan harga setinggi ini walaupun sudah turun berbanding dengan paras kemuncak pada sebulan lepas, namun kita masih yakin harga itu baik.

“Saya berpandangan harga pada paras semasa adalah bersifat menyokong industri, berikutan situasi sukar yang kita lalui sekarang dan khususnya dari segi kekurangan tenaga buruh. Selagi harga di atas RM3,000 alhamdulillah, saya rasa industri meraih banyak manfaat daripadanya,” katanya.

Mohd Faris berkata dari segi pengeluaran, Kulim tidak setanding dengan firma-firma besar, namun pihaknya merekodkan pembelian yang agak besar, dan secara keseluruhan, harga ditawarkan pihaknya terjamin.

“Bagi pengeluaran, kami juga mengalami kekurangan jika dibandingkan dengan tahun lepas, terdapat kekurangan melebihi 10 peratus, dan itu sebenarnya telah menurunkan pengeluaran kami tahun ini,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here