MUAR, 12 Sept — Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) menerusi Fakulti Teknologi Kejuruteraan (FTK) kini memfokuskan tiga bidang utama iaitu teknologi automotif, industri rel dan penyelidikan buluh dalam usaha melahirkan lebih ramai tenaga mahir.

Provost UTHM Profesor Madya Ts Dr Mohd Kamarulzaki Mustafa berkata pada masa sama, universiti itu turut menyuntik minat dan menggalakkan pelajarnya menceburi aliran perniagaan supaya selepas menamatkan pengajian mereka mampu menjadi usahawan yang bijak memanfaatkan teknologi.  

Beliau berkata selain itu, universiti juga melakukan aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) dengan memberi ruang kepada penduduk setempat mendapatkan perkhidmatan penyelenggaraan kenderaan daripada pelajar dengan harga yang berpatutan.

“Melalui bidang teknologi automotif, pelajar didedahkan dengan penyelenggaraan bagi penukaran minyak enjin, diagnosis kenderaan dan ‘dyno’ untuk melihat prestasi kenderaan selain diberi ruang turun ke lapangan menerusi aktiviti CSR,” katanya ketika ditemui Bernama baru-baru ini.

Sementara itu, Ketua Jabatan Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan, FTK, Dr Mimi Faisyalini Ramli berkata, UTHM sememangnya bertuah apabila menjadi universiti pertama menawarkan pengajian Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Pengangkutan Rel dengan Kepujian di negara ini.

Katanya, penubuhan program itu adalah selari dengan objektif universiti melahirkan tenaga mahir bagi memenuhi kehendak industri rel yang dilihat mempunyai potensi dalam industri pengangkutan awam darat yang kini sedang berkembang pesat.

“Negara kita sebenarnya kekurangan tenaga mahir dalam bidang kejuruteraan rel, sehinggakan sebelum ini kita terpaksa mengimport tenaga dari luar. Jadi dengan adanya pengkhususan ini kita mampu bersedia melakukan perubahan dinamik bagi menghadapi cabaran pada masa depan,” katanya. 

Dalam pada itu, Ketua Pusat Penyelidikan Buluh (BambooRC), FTK, Ts Dr Mohd Nazrul Roslan berkata pihaknya kini berusaha membangunkan teknologi baharu dalam industri buluh negara dengan proses pengekstrakan fiber daripada buluh.

Menurut beliau ia bertujuan memajukan lagi teknologi buluh sekali gus mempelbagaikan lagi aplikasi produk daripada serat bagi membuka peluang baharu sumber alternatif komoditi di Malaysia memandangkan kualiti buluh di negara ini lebih baik berbanding negara luar.

“Pengeluaran serat buluh bagi universiti ini bermula dari sektor perladangan buluh seluas hampir satu hektar, sehingga penghasilan produk hiliran daripada aplikasi serat buluh seperti penebat bunyi dan haba, penapisan, produk landskap, bahan binaan bangunan, geotextile dan produk tekstil,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here