KOTA BHARU, 12 Sept — Polis menahan dua lelaki bagi membantu siasatan kebakaran di sebuah pondok bit polis berhampiran Pasar Jelawat, Bachok, dekat sini, awal pagi semalam. 

Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata kebakaran kecil itu disyaki berlaku pada 3.12 pagi dan kedua-dua lelaki yang berumur 24 dan 35 tahun itu ditahan pada 10.30 malam dan 2.30 pagi tadi.

“Polis telah memeriksa satu rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdekatan pondok bit polis itu dan mendapati seorang lelaki menunggang motosikal telah pergi ke pondok tersebut lalu membuat nyalaan api sebelum beredar.

“Pegawai penyiasat mendapati terdapat kesan jelaga pada dinding bahagian luar pondok dan kesan terbakar pada dinding selain kesan retak pada cermin tingkap,” katanya.

Shafien ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas Timbalan Ketua Polis Kelantan SAC Abdullah Muhammad Piah kepada penggantinya Datuk Muhamad Zaki Harun di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan di sini hari ini.

Beliau berkata pemeriksaan di kawasan kebakaran juga menemukan satu kepingan bahan yang terbakar dipercayai diperbuat daripada plastik dan kini dijadikan bahan kes.

Katanya kedua-dua lelaki itu mempunyai rekod kesalahan lampau dengan seorang daripadanya turut didapati positif dadah.

Mereka kini direman enam hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 435 Kanun Keseksaan, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here