PUTRAJAYA, 7 Okt  — Dakwaan penyertaan syarikat bumiputera dan tempatan yang rendah dalam projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) adalah tidak tepat kerana 81 syarikat majoriti bumiputera telah mengambil bahagian dalam projek itu, menurut Kementerian Pengangkutan (MOT).

Dalam satu kenyataan hari ini, kementerian itu menjelaskan bahawa 81 syarikat itu mengambil bahagian dalam projek ECRL dengan nilai RM320 juta setakat Ogos tahun ini, yang merupakan 10.67 peratus daripada keseluruhan nilai penyertaan bumiputera yang dirancang iaitu sebanyak RM3 bilion.

“Adalah kurang tepat untuk menyatakan bahawa tiada penyertaan kontraktor bumiputera dalam ECRL,” kata MOT dalam kenyataan itu hari ini sebagai respons terhadap kenyataan Ahli Parlimen Pasir Salak Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman di Parlimen pada 5 Okt yang mendakwa penyertaan bumiputera “tidak wujud”.

Menurut MOT, 81 syarikat bumiputera itu berjaya melepasi latihan prakelayakan yang dilakukan pada 2017 dan 2019 serta memperoleh kontrak mereka secara kompetitif melalui bidaan dengan kontraktor utama Kejuruteraan, Perolehan, Pembinaan dan Pentauliahan (EPCC)

Mereka terdiri daripada 43 kontraktor, dua firma perunding serta 36 vendor dan pembekal.

Menurut MOT,  jumlah kadar penyertaan bagi projek ECRL bernilai lebih RM4.59 bilion dari jumlah yang dirancang sebanyak RM10 bilion dengan 1,368 syarikat mengambil bahagian.

Di bawah Perjanjian Tambahan No. 6, kadar penyertaan efektif syarikat bumiputera dalam ECRL akan meningkat dari 30 menjadi 32.9 peratus, yang merupakan komitmen oleh kontraktor utama EPCC untuk meningkatkan peratusan penyertaan syarikat tempatan dan bumiputera dalam projek mega, katanya.

Ini, katanya adalah hasil daripada jawatankuasa khas yang dibentuk pada Oktober 2020 yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha MOT untuk memantau peningkatan penyertaan tempatan dan bumiputera dalam projek itu.

Pada Selasa, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata sasaran penyiapan projek ECRL masih kekal setakat ini iaitu pada 31 Dis 2026 bagi seksyen A dari Kota Bharu ke Dungun dan B dari Dungun ke Temerloh.

Bagaimanapun, beliau berkata penyiapan Seksyen C iaitu dari Temerloh ke Pelabuhan Klang dijangka mengalami kelewatan selama 12 bulan iaitu pada 31 Dis 2027. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here