KUALA LUMPUR, 8 Okt  — Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan membuat uji pandu kenderaan jenis BMW dan Volkswagen yang dilengkapi aksesori kenderaan polis bagi mendapatkan maklum balas berhubung kesesuaiannya digunakan dalam penugasan PDRM.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman Datuk Hazani Ghazali berkata uji pandu berkenaan ditawarkan oleh syarikat berkaitan sebelum sebarang keputusan penggunaannya oleh PDRM.

Beliau berkata PDRM menguji pandu lima unit kenderaan mewah melibatkan BMW M3 dan X3 serta Volkswagen Tiguan.

“Kenderaan berkenaan akan digunakan KDNKA, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik serta Cawangan Pengawal Pengiring dalam uji pandu selama dua minggu atau peringkat pembuktian konsep tanpa sebarang perjanjian atau urusan pembelian,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PDRM sedia maklum kekangan kewangan yang dihadapi oleh kerajaan ketika ini dan tawaran yang diberikan oleh syarikat berkenaan adalah atas prinsip hanya untuk uji pandu.

Semalam, tular menerusi media sosial memaparkan lima unit kenderaan mewah dinyatakan lengkap dengan aksesori kenderaan polis sehingga menimbulkan tanda tanya tentang penggunaannya pada masa akan datang oleh PDRM.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here