PUTRAJAYA, 13 Okt — Jabatan Imigresen (JIM) menumpaskan kegiatan pelacuran yang aktif dalam tempoh Pelan Pemulihan Negara (PPN) dengan penahanan 14 warga asing dan dua lelaki tempatan dalam serbuan di sebuah hotel di Nilai, Negeri Sembilan dan Cheras, Kuala Lumpur, pada Rabu dan Khamis lepas.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud berkata dalam serbuan di hotel bajet di Nilai menerusi Op Gegar, Rabu lepas itu pihaknya mendapati kegiatan pelacuran tersebut membabitkan wanita warga asing dengan menawarkan pakej perkhidmatan seks pada kadar sama rata RM180 bagi satu langganan.

Beliau berkata pelanggan yang terdiri daripada warga tempatan dan asing perlu memilih wanita dan membuat tempahan terlebih dahulu melalui aplikasi WeChat dan Telegram.

“Hasil pemeriksaan, lima wanita warga asing iaitu tiga warga Thailand dan dua Indonesia yang disyaki melakukan aktiviti pelacuran ditahan serta seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai pelanggan.

“Semakan awal mendapati ada dalam kalangan wanita itu mempunyai kes dadah dan masih dalam proses perbicaraan mahkamah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairul Dzaimee berkata dalam serbuan menerusi operasi sama di sebuah hotel tiga bintang di Cheras pada keesokannya pula, hotel berkenaan didapati dikawal selia melalui kamera litar tertutup (CCTV) dan ‘tonto’ yang akan bertindak pantas menghentikan aktiviti serta menutup premis jika dapat mengesan sebarang pergerakan daripada pihak berkuasa.

Bagi mengelak daripada dikesan pihak berkuasa, sindiket pelacuran mendaftarkan bilik-bilik di hotel menggunakan nama warga tempatan dan hanya menerima pelanggan yang telah membuat tempahan melalui urusan WeChat dan Telegram, katanya.

Beliau berkata perkhidmatan seks yang ditawarkan adalah dari RM180 bagi tempoh masa 45 minit dan RM1,800 bagi langganan untuk tempoh 24 jam atau sehari.

“Setiap pelanggan terlebih dahulu akan memilih wanita warga asing yang ingin dilanggan melalui aplikasi WeChat dan Telegram. Bayaran perlu dibuat secara atas talian dan selepas itu barulah pelanggan diberikan nombor bilik wanita yang telah ditempah sebelum hadir ke hotel tersebut,” katanya.

Menurut Khairul Dzaimee, lapan wanita warga asing iaitu empat warga Indonesia, dua Thailand dan dua Vietnam yang disyaki menjalankan aktiviti pelacuran ditahan dalam serbuan itu selain dua lelaki tempatan yang dipercayai penjaga kesemua wanita tersebut.

Beliau berkata antara kesalahan melibatkan kesemua yang ditahan ialah tiada dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa dan lain-lain kesalahan yang melanggar Akta Imigresen. 

Kesemua mereka akan ditempatkan di Depot Tahanan Imigresen Semenyih, Selangor untuk siasatan mengikut Akta Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM), Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Susulan daripada serbuan di Nilai dan Cheras itu, JIM telah mengesan dan mengenal pasti beberapa lokasi premis yang merupakan rangkaian sindiket aktif menjalankan aktiviti pelacuran.

“Operasi penguatkuasaan dan tindakan susulan akan dijalankan bagi membanteras aktiviti tidak bermoral yang boleh mencemari proses PPN,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here