IPOH, 15 Okt  — Amalan perpaduan dan keharmonian perlu diterapkan khasnya ketika rakyat sedang melalui fasa rentas negeri yang memerlukan kebersamaan dan sifat toleransi yang tinggi, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique.

Beliau berkata rakyat perlu mengamalkan sifat-sifat murni tersebut agar dapat mengekalkan keamanan dan kesejahteraan selain membantu mengurangkan penularan pandemik COVID-19.

“Benda-benda yang kecil boleh mencetus perbalahan antara kaum. Contohnya, ketika kesesakan di jalan raya, perlulah bertimbang rasa, jangan marah-marah sebaliknya amalkan ikatan perpaduan yang baik.

“Kita kena hormat pengguna jalan raya yang lain. Semua orang ingin cepat pulang. Janganlah tidak sabar. Di mana-mana sahaja kita berada, kita perlu amal dan semai perpaduan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia di Cafe Shake & Bake di sini hari ini.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) dilapor berkata aliran trafik yang tinggi dijangka berlaku di beberapa negeri susulan pembukaan rentas negeri Isnin lepas.

Halimah berkata selain amalan perpaduan, rakyat juga dituntut mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketika pulang ke kampung seperti melakukan ujian COVID-19, mengamalkan jarak dan tidak pulang jika ada simptom yang akan merisikokan ahli keluarga.

Mengenai Cafe Uniti Citarasa Keluarga Malaysia, beliau berkata ia antara lain bertujuan meraikan pengusaha-pengusaha restoran yang mendukung aspirasi perpaduan dengan membudayakan amalan kebersamaan.

“Kita akan mengenal pasti kafe, restoran, tempat tumpuan orang ramai dan sebagainya serta maklum balas orang ramai yang akan bermula tidak lama lagi di setiap negeri seluruh negara.

“Menariknya, program ini akan melibatkan orang ramai yang akan memberi respons mengenai sesebuah premis makanan itu mengamalkan konsep Keluarga Malaysia dan kemudiannya kami akan datang memberi pengiktirafan dengan meletakkan plak Citarasa Keluarga Malaysia,” katanya.

Cafe Shake & Bake yang dilancarkan Halimah hari ini adalah yang pertama di Malaysia dipilih Kementerian Perpaduan Negara berdasarkan keunikan dalam penyajian menu dan pelbagai citarasa sehingga mampu menarik kunjungan pelanggan berbilang kaum.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here