MIRI, 19 Okt  — Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBN) akan berusaha memastikan kaum Penan, sebuah kumpulan etnik minoriti di Ulu Baram yang enggan disuntik vaksin COVID-19, akan menerima vaksin berkenaan tidak lama lagi.

Pengerusinya Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata kerajaan akan meminta bantuan pertubuhan bukan kerajaan dan wakil rakyat untuk meyakinkan golongan minoriti berkenaan.

“Sekarang kita menyediakan bekalan vaksin CanSino. Vaksin dos tunggal ini adalah pilihan yang baik untuk mereka dan petugas perubatan kita akan pergi ke kawasan mereka,” katanya dalam satu kenyataan selepas menghadiri taklimat mengenai dos penggalak COVID-19 dan Program vaksinasi remaja Bahagian Miri di sini, hari ini.

Uggah berkata, Pegawai Kesihatan Bahagian Miri Dr Raviwharmman Packierisamy memaklumkan beliau mereka telah berusaha sebanyak enam kali untuk meyakinkan kaum Penan agar menerima vaksin COVID-19.

“Kami telah berusaha melalui pegawai kerajaan, wakil rakyat, anggota masyarakat berpengaruh, badan bukan kerajaan dan Borneo Evangelical Malaysia (badan agama) untuk meyakinkan mereka (orang Penan), namun ia tidak berhasil.

“Walaupun mereka tiada masalah untuk menerima rawatan atau prosedur perubatan biasa, namun mereka takut dan menolak sama sekali untuk disuntik. Malah, mereka akan melarikan diri ke dalam hutan ketika pasukan vaksinasi kami tiba. Keadaan ini menjadi salah satu cabaran besar kami dalam program melaksanakan vaksinasi, ” kata Dr Raviwharmman.

Pegawai Kesihatan Bahagian Miri itu berkata bahawa masyarakat Penan di Baram tidak seperti orang Belaga di Bahagian Kapit yang diketahuinya melalui Residen Bahagian Nyurak Keti bahawa mereka lebih terbuka.

Sementara itu, ketika kumpulan etnik minoriti ini hidup secara berselerakan di enam penempatan berlainan di Ulu Baram, Uggah turut bersetuju dengan cadangan Dr Raviwharmman agar sepasukan perubatan sukarela diketuai oleh doktor dari Jabatan Kesihatan negeri termasuk pesara kakitangan perubatan dari Baram untuk melawat ke kawasan penempatan berkenaan.

“Pasukan ini akan pergi ke kawasan-kawasan pedalaman untuk memberikan rawatan perubatan dan pergigian selama beberapa hari. Mereka mempunyai hubungan erat dengan penduduk tempatan dan telah mendapat kepercayaan mereka. Kerajaan negeri bersedia memberikan bantuan kewangan kepada pasukan kesihatan untuk bantu masyarakat Penan,” katanya.

Katanya, SDMC juga mempertimbangkan untuk memberikan dos penggalak kepada petugas barisan depan yang layak di negeri ini yang bukan terdiri daripada petugas perubatan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here