KUALA LUMPUR, 22 Okt — Sebanyak 139 syarikat daripada lebih 500 permohonan lengkap daripada pelbagai jenis syarikat berjaya diserap ke dalam program Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS) antara tempoh Ogos 2020 dan Julai 2021.

Manakala sejumlah RM52.78 juta telah diluluskan oleh NTIS untuk membiayai 70 syarikat bagi mengembangkan inovasi melalui rakan pembiayaan utama iaitu Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia, kata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dalam satu kenyataan hari ini.

“Sementara, 69 syarikat yang lain juga turut mendapat sokongan teknikal, pengawal seliaan, sokongan tapak pengujian atau dirujuk kepada organisasi pemberian dana yang mempunyai kerjasama strategik dengan NTIS,” kata kementerian itu.  

NTIS merupakan inisiatif MOSTI di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara, bertujuan untuk memangkin pembangunan syarikat pemula teknologi melalui pembangunan produk serta penyelesaian yang inovatif, penerapan teknologi tinggi, sokongan pengkomersialan dan bantuan dana pertumbuhan.  

Menurut MOSTI, sebanyak 50 peratus daripada projek NTIS yang mendapat kelulusan merangkumi sektor perubatan dan kesihatan, pertanian dan perhutanan serta kejuruteraan pintar dan pembuatan.

“Manakala, 50 peratus lagi adalah berkaitan sistem lanjutan pintar.

“NTIS turut mendapat sokongan 26 kementerian, dua agensi kerajaan dan 26 rakan Innovation Acceleration Network (IAN),” katanya.

Menteri MOSTI, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata NTIS adalah antara instrumen utama yang dikenal pasti untuk merealisasikan matlamat Pemecutan Penerapan Teknologi dan Inovasi yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12).

“Enam sasaran telah ditetapkan termasuk pengkomersialan 500 produk dan penyelesaian melalui NTIS dan Tahun Pengkomersialan Malaysia (MCY) menjelang 2025.

“Adalah penting untuk produk dan penyelesaian inovasi yang membawa impak serta menepati permintaan pengguna dibawa keluar dari makmal dan diperkenalkan melalui pemecutan kemasukan ke pasaran,” katanya.

Adham berkata, syarikat Malaysia yang diterima NTIS akan dibantu untuk memajukan inovasi mereka daripada satu tahap kesediaan teknologi (TRL) ke tahap berikutnya, iaitu daripada peringkat prototaip dan pengujian hinggalah ke peringkat penggunaan dan pengkomersialan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here