KLANG, 28 Okt — Kerajaan Selangor berharap pembentangan Bajet 2022 yang akan diumumkan esok akan menyentuh mengenai peruntukan untuk projek tebatan banjir khususnya bagi negeri tersebut. 

Menteri Besarnya Datuk Seri Amirudin Shari berkata pihaknya sebelum ini telah membuat permohonan kepada kerajaan Persekutuan bagi pembinaan tebatan banjir berjumlah RM1.3 bilion.  

“Saya percaya projek tersebut dapat dibuat secara sekali gus atau berperingkat,” katanya kepada media selepas merasmikan Inisiatif Selangor Freelance di sini hari ini. 

Selain itu katanya, sebagai negeri yang mempelopori bidang aeroangkasa di Malaysia adalah diharapkan kerajaan Persekutuan akan memberi insentif khas untuk pembangunan sektor itu agar dapat terus dipertahankan dan dikembangkan. 

Amirudin berkata kerajaan negeri juga berharap projek pembangunan pelabuhan ketiga di Pulau Carey atau di tempat-tempat strategik lain di negeri itu dapat dimulakan yang diyakini akan memberi manfaat besar kepada industri pelabuhan negara. 

Mengenai penambahbaikan infrastruktur, pihaknya berharap agar syarat-syarat yang ditetapkan di bawah Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) bagi membiayai kerja penyelenggaraan jalan dapat dilonggarkan.

“Kalau diberi kelonggaran dan dipermudahkan syarat-syarat itu, saya percaya banyak isu dapat diselesaikan seperti jalan berlubang yang memerlukan peningkatan dari segi kualiti dan bahan yang digunakan,” katanya yang juga berharap kerajaan Persekutuan dapat menambah peruntukan untuk infrastruktur lain seperti pembinaan sekolah dan jambatan. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here