SINGAPURA, 8 Nov — Mahkamah Tinggi Singapura hari ini membenarkan penangguhan pelaksanaan hukuman terhadap seorang warga Malaysia yang sepatutnya menjalani hukuman gantung pada Rabu (10 Nov) atas sabitan mengedar dadah.

Keputusan itu dimuatnaik di Facebook oleh M. Ravi, peguam kepada lelaki yang dihukum mati iaitu Nagaentran K Dharmalingam, 33.

“Mahkamah Tinggi baru sahaja memerintahkan penangguhan pelaksanaan sementara menunggu perbicaraan rayuan di Mahkamah Rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi,” katanya.

Prosiding bagi permohonan mencabar pelaksanaan penghakiman didengar melalui aplikasi zoom hari ini, dua hari sebelum tarikh pelaksanaan hukuman gantung pada 10 Nov.

Nagaentran ditahan pada 2009 kerana membawa masuk 42.7 gram (1.5 aun) heroin ke Singapura.

Menurut Ravi, peguam dari K K Cheng Law Llc, mahkamah melaksanakan sesi perbicaraan yang adil diketuai oleh Hakim See Kee Oon.

Perbicaraan bermula pada pukul 2.30 petang manakala keputusan penghakiman disampaikan pada pukul 4 petang.

Pada Ahad (7 Nov), Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dilaporkan telah mengutus surat kepada rakan sejawatannya di Singapura Lee Hsien Loong memohon supaya hukuman dalam kes itu diringankan.

Laporan itu menyebut Ismail Sabri telah meminta kerajaan Singapura untuk pertimbangkan kemungkinan menangguh hukuman mati untuk membolehkan permohonan baharu bagi pengampunan presiden dikemukakan.

Peguam Nagaenthran mendakwa anak guamnya seorang kurang upaya daripada segi intelek. Dia dijatuhi hukuman mati oleh Mahkamah Tinggi pada 22 Nov 2010. Proses rayuan melalui mahkamah telah pun dibuat sehingga ke peringkat akhir, dan permohonannya untuk pengampunan presiden ditolak pada 1 Jun 2020.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here