KUCHING, 12 Nov — Satu prosedur operasi standard (SOP) yang realistik diharap dapat ditetapkan untuk digunakan semasa berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak di kawasan pedalaman negeri itu, kata Timbalan Ketua Menteri Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas.

Beliau berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang akan memuktamadkan SOP berkenaan diharap akan mengambil kira keadaan di kawasan pedalaman agar tidak menjejaskan aktiviti berkempen semasa PRN itu nanti.

“Harapan kita akan ada SOP yang realistik yang boleh membantu kita berkempen tapi dalam masa yang sama juga dapat menentukan bahawa segala keperluan untuk (mematuhi) penjarakan fizikal dan sebagainya dilaksanakan untuk mengelakkan daripada penyakit (COVID-19) merebak. Itu adalah faktor paling penting,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media sebelum menyampaikan geran berjumlah RM3.896 juta daripada Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (Unifor) Jabatan Ketua Menteri Sarawak kepada rumah-rumah ibadat bukan Islam di pejabatnya di Wisma Bapa Malaysia hari ini.

Tambahnya, senario yang berbeza akan berlaku semasa PRN Sarawak akan datang, sepertimana yang berlaku dalam PRN Melaka ketika ini.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here