KUALA LUMPUR, 17 Nov — Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Tourism Malaysia  menandatangani Memorandum Kerjasama (MoC) bagi membangunkan program latihan profesional dan akademik serta perkongsian kepakaran termasuk kajian penyelidikan bersama dalam bidang berkaitan pelancongan.

Memorandum itu ditandatangani Naib Canselor UMT Prof Dr Mazlan Abdul Ghaffar dan Ketua Pengarah Tourism Malaysia Datuk Zainuddin Abdul Wahab di Pusat Komunikasi Strategik UMT, Putrajaya, semalam.

Menerusi pemeteraian MoC itu, hubungan industri dan akademik antara UMT dan Tourism Malaysia terus diperkukuh dalam sebarang aktiviti pelancongan dan komuniti, termasuk kesukarelawanan, pendidikan serta potensi kolaborasi yang boleh memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak.

Zainuddin berkata Tourism Malaysia juga telah melantik UMT sebagai wakil tetap bagi pasukan petugas Pelan Pemasaran Tourism Malaysia 2022-2026untuk membantu merangka strategi pemasaran pelancongan serta memberikan idea bernas khususnya dari sudut pandang akademik.

“Kerjasama dengan UMT telah bermula dengan pertukaran ilmu dan kepakaran menerusi penganjuran program Industry Talk dan program berkaitan industri,” katanya dalam kenyataan oleh Tourism Malaysia hari ini.

Dalam pada itu, Mazlan berkata UMT mengalu-alukan kerjasama strategik itu bagi meningkatkan kualiti serta kecemerlangan pengajaran, pembelajaran dan penyelidikan, selari dengan misi universiti berkenaan yang memfokuskan kepada kajian sains marin, serta impak peningkatan sosioekonomi terhadap taraf hidup komuniti.

“Menerusi kerjasama ini, UMT turut dapat memperkasa penawaran pakej pelancongan pendidikan (EduTourism) kepada pelancong tempatan dan antarabangsa, sekali gus berupaya mempromosi keunikan pelancongan marin di Terengganu,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here