SERDANG, 30 Nov — Platform e-dagang mampu menjadi medium bagi menstabilkan dan menurunkan harga produk agromakanan di negara ini kerana penglibatan orang tengah dapat dikurangkan, kata  Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

“Dengan platform e-dagang, pengeluar dapat memasarkan produk secara terus kepada pembeli pada harga lebih rendah daripada harga pasaran, tanpa dimanipulasi oleh orang tengah,” kata Ronald.

“Kita memang mahu kurangkan penglibatan orang tengah supaya pengeluar dapat memaksimumkan pendapatan mereka,” katanya kepada media selepas melancarkan platform e-dagang agroproduk, Agro Tradzt, di Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di sini hari ini.

Menurutnya, bazar dalam talian kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Agrobazaar Online, mencatatkan nilai jualan hampir RM4 juta bagi tempoh Jan 2020 hingga 31 Okt lepas, manakala kedai dalam talian, AgroBazaar Malaysia, yang boleh dilayari di platform e-dagang Shopee dan AirAsia Farm pula mencatatkan jualan hampir RM1 juta dalam tempoh sama.

“Platform-platform yang memasarkan produk segar agromakanan ini menjadi norma baharu rakyat negara ini sejak Malaysia dilanda pandemik COVID-19,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here