KUALA LUMPUR, 7 Dis — Kerjasama antara Bank Negara Malaysia (BNM) dan Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) untuk memulakan jalinan berfasa sistem pembayaran runcit masa nyata DuitNow Malaysia dan PayNow Singapura adalah antara topik yang dibincangkan dengan Singapura, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Fasa pertama jalinan itu akan dilancarkan pada suku keempat 2022, yang membolehkan pelanggan institusi kewangan yang mengambil bahagian untuk membuat pindahan dana masa nyata antara Malaysia dan Singapura melalui telefon mudah alih.

“Pelanggan juga boleh membuat pembayaran runcit dengan mengimbas kod QR yang dipaparkan di hadapan premis peniaga.

“Projek ini akan membolehkan pembayaran yang lebih lancar untuk jumlah pengiriman wang yang tinggi antara Malaysia dan Singapura, yang telah mencecah RM4.2 bilion pada 2020,” kata Tengku Zafrul pada akhir lawatan kerjanya selama dua hari ke Singapura, hari ini.

Beliau berkata jalinan itu akan turut memenuhi keperluan pelancong dari kedua-dua negara, yang mencatatkan jumlah ketibaan yang besar iaitu secara purata kira-kira 12 juta setahun sebelum pandemik bermula.

“Secara keseluruhannya, perbincangan (dengan Singapura) untuk memperkukuh pengupaya bagi hubungan istimewa Malaysia-Singapura untuk beberapa bulan akan datang dan menjelang 2022,” kata Tengku Zafrul.

Semasa lawatan kerjanya, Tengku Zafrul membincangkan pelbagai topik merangkumi perdagangan, ekonomi dan pelaburan dengan beberapa menteri Singapura termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Ekonomi Heng Swee Keat, Menteri Kanan dan Menteri Penyelaras bagi Dasar-Dasar Sosial Tharman Shanmugaratnam, Menteri Luar Dr Vivian Balakrishnan, Menteri Kewangan Lawrence Wong dan Menteri Tenaga Manusia dan Menteri Perdagangan dan Industri Kedua Dr Tan See Leng.

Pemulihan kesalinghubungan langsung antara Bursa Saham ASEAN 

Tengku Zafrul berkata beliau turut membincangkan mengenai kemungkinan untuk memulihkan kesalinghubungan langsung antara Bursa Saham ASEAN, terutamanya manfaat yang akan dibawa misalnya untuk ASEAN menjadi kelas aset yang tersendiri, serta mudah tunai dan ketangkasan yang lebih baik bagi setiap pasaran yang mengambil bahagian di rantau ini.

Turut disentuh adalah penyambungan semula projek Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru-Singapura yang memaparkan hubungan dua hala yang erat dan teguh di antara kedua-dua negara, dan keinginan bersama untuk memperkukuh kerjasama menang-menang.

“RTS akan mengurangkan kesesakan Tambak, mempertingkat kesalinghubungan, memelihara hubungan rakyat dengan rakyat dan meraih manfaat ekonomi dan sosial bersama di antara Malaysia dengan Singapura, selain usaha yang sedang dilaksanakan membabitkan projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) Kuala Lumpur-Singapura susulan pertemuan Perdana Menteri kedua-dua negara mengenai perkara ini,” katanya.

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam lawatannya ke Singapura baru-baru ini mencadangkan agar perbincangan mengenai HSL dihidupkan semula.

Sehubungan itu, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong berkata republik itu terbuka menerima cadangan baharu dari Malaysia. 

Lee berkata Kementerian Pengangkutan dari kedua-dua negara akan membincangkan perkara tersebut dan Singapura berharap menerima butiran lebih terperinci dari Malaysia. 

Tengku Zafrul turut mengadakan pertemuan dengan pelabur daripada kedua-dua sektor institusi dan swasta, termasuk syarikat modal teroka dan penggiat ekuiti swasta.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here