KUALA LUMPUR, 7 Dis — Kementerian Luar (Wisma Putra) akan mengambil pendekatan konsultatif dalam pelaksanaan Kerangka Dasar Luar Negeri yang dilancarkan hari ini, kata menterinya Datuk Saifuddin Abdullah.

Menurut beliau kementerian akan memberi taklimat kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen Hal Ehwal Antarabangsa yang baharu ditubuhkan, selain mengadakan siri mesyuarat dengan kementerian-kementerian yang berkaitan dengan fokus-fokus utama kerangka berkenaan.

“Kerja-kerja Kementerian Luar ini mewakili pihak lain, contohnya ekonomi digital ini di bawah Unit Perancang Ekonomi (EPU), Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM).

“Kebudayaan pula di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) dan KKMM, tetapi kita mengorak langkah untuk membantu fasilitasi daripada segi promosi di luar negara kerana kita ada Pejabat Perwakilan Malaysia (Malawakil) di seluruh dunia, sudah tentu kita bantu kementerian yang bertanggungjawab,” katanya selepas majlis pelancaran kerangka itu oleh Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, di sini hari ini.

Kerangka Dasar Luar Negeri yang bertemakan “Focus in Continuity: A Framework for Malaysia’s Foreign Policy in a Post-Pandemic World” itu memberi fokus kepada lapan isu utama iaitu Menggiatkan Semula Hubungan Malaysia Di Dalam Ekonomi Global; Diplomasi Kesihatan; Ekonomi Digital; Keselamatan Siber ); Diplomasi Kebudayaan ); Falsafah Hidup Bersama Dalam Budaya Damai; Mendukung Prinsip Multilateralisme; dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030.

Daripada segi Diplomasi Kesihatan, katanya, perbincangan peringkat awal sudah dimulakan dengan syarikat-syarikat China dalam usaha Malaysia untuk menghasilkan vaksin sendiri.

Mengenai diplomasi budaya pula, katanya ia bukan sahaja berkenaan mengembangkan bahasa dan budaya Malaysia di peringkat antarabangsa tetapi juga soal mengembangkan sejarah dan falsafah negara.

“Contohnya di China sudah ada 15 universiti mengajar Bahasa Melayu, mungkin kita boleh bermula di China sebab sudah ada minat dalam kalangan rakyat mereka.

“Ada beberapa aktiviti lain, mungkin jelajah syarahan oleh tokoh-tokoh akademik kita yang terkenal contohnya, beberapa orang dipilih dari semasa ke semasa untuk mengadakan ceramah di Eropah dan sebagainya untuk memperkenalkan budaya Malaysia,” sambil menambah Malawakil akan membantu usaha itu.

Saifuddin berkata persiapan di peringkat awal sedang dibuat dan pelaksanaan sepenuhnya dijangka bermula di bawah Belanjawan 2022.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here