KUALA LUMPUR, 10 Dis — Konsep rangkaian tunggal 5G atau Rangkaian Borong Tunggal (SWN) telah dibincangkan secara bersama antara Kementerian Kewangan (MOF) dan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) di Kabinet sejak 2019.

 Menteri Kewangan Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata konsep tersebut merupakan cadangan yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dalam Laporan Akhir Peruntukan Jalur Spektrum untuk Perkhidmatan Jalur Lebar Mudah Alih, yang diterbitkan pada waktu itu.

Katanya laporan itu mencadangkan supaya entiti tunggal dibentuk oleh sebuah konsortium 5G yang terdiri daripada syarikat telekomunikasi berbanding menganugerahkan spektrum 5G secara individu.

Bagaimanapun, disebabkan perbezaan kepentingan dalam kalangan syarikat telekomunikasi, usaha untuk berkongsi rangkaian, menjimatkan kos dan melancarkan 5G tidak terlaksana seperti yang diharapkan.

“Selama ini, MOF bekerjasama rapat dengan KKMM dan agensi kawal selianya, MCMC, dalam segala usaha untuk menambah baik kesalinghubungan digital di Malaysia.

“Saya sentiasa berbincang dengan Menteri KKMM, dahulu dan sekarang, dan saya akan terus bekerjasama rapat dengan Menteri KKMM untuk kesejahteraan ekonomi digital negara kita,” katanya dalam catatan media sosial terkininya.

Tengku Zafrul berkata demikian mengulas kenyataan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin pada sesi Dewan Rakyat semalam bahawa tiada perundingan antara MOF dan KKMM mengenai pelantikan Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai pelaksana rangkaian dan infrastruktur 5G melalui model SWN.

Katanya KKMM turut maklum bahawa sebuah syarikat tujuan khas (SPV) yang dimiliki sepenuhnya oleh kerajaan akan dilantik bagi melaksanakan infrastruktur rangkaian 5G tunggal ke seluruh negara.

Pada 1 Mac lepas, katanya MOF telah mengumumkan penubuhan DNB sebagai pengendali SWN 5G yang berasaskan model pemulihan kos, berteraskan penawaran dan bukannya berdasarkan model keuntungan maksimum.

“Model pemulihan kos ini menjadi keutamaan supaya pelaksanaan rangkaian 5G dapat dipercepatkan pada kos yang rendah. Ini akan memastikan kos penggunaan 5G oleh rakyat dan perniagaan adalah berpatutan.

“Model yang berteraskan bekalan ini juga penting bagi memastikan perkhidmatan 5G dapat dinikmati oleh penduduk yang tinggal di kawasan luar bandar,” katanya.

Mengenai reka bentuk dan pembinaan rangkaian 5G yang dilaksanakan oleh Ericsson, beliau berkata antara usaha untuk mempercepatkan pelaksanaan 5G adalah dengan menggabungkan penyewaan menara dan pajakan gentian.

“Justeru, persoalan mengenai kapasiti DNB untuk penyediaan digital backbone tidak langsung timbul kerana pembangunan rangkaian 5G ini juga akan mengguna pakai infrastruktur sedia ada,” katanya.

Beliau turut menjelaskan berdasarkan penilaian tender, Ericsson (Malaysia) Sdn Bhd telah dilantik sebagai Penyedia Peralatan Rangkaian (NEP) kerana kosnya adalah RM700 juta lebih rendah berbanding kos yang ditawarkan oleh pembida kedua terendah.

Katanya proses tender itu juga dilaksanakan secara telus dan kolektif melalui rundingan dengan pihak syarikat telekomunikasi termasuk dalam aspek reka bentuk rangkaian.

Tengku Zafrul turut menyatakan DNB akan mengenakan caj kurang daripada 20 sen bagi setiap gigabit (GB) untuk 5G kepada syarikat telekomunikasi apabila caj tersebut adalah jauh lebih murah berbanding kos tambahan semasa bagi setiap GB 4G oleh syarikat telekomunikasi dengan kadar 45 – 55 sen bagi setiap GB.

Tambahan lagi, katanya melalui model SWN, setiap syarikat telekomunikasi dijangka akan membayar DNB antara RM3.5 bilion hingga RM4.0 bilion dalam tempoh 10 tahun akan dating.

Katanya jumlah tersebut adalah jauh lebih rendah berbanding anggaran RM7.5 bilion untuk menaik taraf satu rangkaian 4G utama kepada 5G di Malaysia.

“Ini bermakna mereka akan mendapat penjimatan lebih daripada 50 peratus dan penjimatan tersebut dapat mengurangkan harga perkhidmatan yang dikenakan kepada pelanggan atau pengguna.

“Pada masa sama, mereka juga masih boleh membayar lebih banyak dividen kepada pemegang saham masing-masing,” katanya, sambil menambah kepentingan kontraktor Bumiputera tidak akan diketepikan dalam projek 5G.

Beliau berkata antara syarat projek 5G adalah keperluan untuk memanfaatkan sekurang-kurangnya 60 peratus kontraktor Bumiputera dalam tempoh 10 tahun akan datang, seperti yang dipersetujui oleh Majlis Kemakmuran Bumiputera.

Tengku Zafrul berharap penjelasan ini akan mengakhiri segala kekeliruan mengenai model SWN yang diguna pakai berserta manfaat yang jelas merupakan satu penyelesaian menang-menang​ bagi kesemua pihak.

“Pada pendapat saya, KKMM telah melaksanakan tugas yang baik dalam melaksanakan projek kesalinghubungan negara, JENDELA, dan MOF akan sentiasa menyokong matlamat KKMM untuk merealisasikan mandat MyDigital negara untuk keterangkuman sosio-ekonomi.

 “Paling penting, kerajaan akan terus memastikan keterangkuman liputan rangkaian 5G, pelaksanaan yang cepat dan harga mampu milik bagi 5G untuk seluruh Keluarga Malaysia, tidak kira individu atau perniagaan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here