KUALA LUMPUR, 14 Dis — Industri getah mengekalkan kedudukan teratasnya pada tahun 2021 berbanding komoditi lain, mencatatkan pertumbuhan memberangsangkan serta membantu menyumbang kepada tabung negara.

Prestasi cemerlang ini didorong oleh permintaan dan pengeluaran sarung tangan getah yang sebahagian besarnya tidak terganggu oleh langkah-langkah pembendungan COVID-19.

Malaysia ialah pengeluar sarung tangan perubatan terkemuka di dunia dan permintaan terhadap produk itu melonjak disebabkan penularan pandemik dan ini telah memacu industri berkenaan ke tahap yang sangat tinggi dan kejayaan yang dikecapi menyaksikan kemunculan beberapa jutawan baharu di dalam negara.

Negara ini telah memenuhi 68 peratus permintaan global untuk keperluan sarung tangan getah sejak 30 tahun lepas dan untuk 2021, ia dianggar membekalkan 280 bilion keping sarung tangan getah.

Malah, tahun ini menyaksikan pemain atau peserta baharu menyertai kelompok ini untuk memanfaatkan peluang baharu dengan menceburi pengeluaran sarung tangan getah walaupun pada hakikatnya harga jualan purata (ASP) dijangka turun lagi sebanyak 30-50 peratus dalam masa terdekat di tengah-tengah peningkatan persaingan pasaran.

Dalam pada itu, seperti pada tahun 2020, isu buruh paksa terus menghantui industri tahun ini.

Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) Amerika Syarikat (AS) membuat dakwaan terhadap sekurang-kurangnya lima syarikat tempatan, termasuk Top Glove Corporation Bhd, Supermax Corp Bhd dan Smart Glove Corp Sdn Bhd.

Justeru, Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (Margma) telah meningkatkan usahanya dengan memberikan komitmen untuk membasmi buruh paksa yang telah mencemarkan imej industri sejak dua tahun lalu.

Prestasi cemerlang

Permintaan yang semakin melonjak menyaksikan eksport produk getah setakat Oktober meningkat 55 peratus kepada RM71 bilion daripada tempoh yang sama pada 2019 dan untuk sepanjang tahun, ia dijangka mencecah RM82 bilion, mengembang sebanyak 38 peratus berbanding RM59.4 bilion pada 2020.

Daripada jumlah itu, getah asli menyumbang RM7 bilion (8.5 peratus), keluaran getah RM63 bilion (77 peratus), getah lain RM2.5 bilion (3.0 peratus), dan kayu hevea RM9.5 bilion (11.5 peratus).

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), sektor produk getah khususnya sarung tangan getah memainkan peranan penting dalam menjana nilai eksport yang tinggi berikutan lonjakan permintaan global terhadap produk ini bagi membendung pandemik COVID-19.

Bagi sembilan bulan pertama 2021, pengeluaran getah berjumlah 354,359 tan, kira-kira lima peratus lebih rendah daripada tempoh yang sama 2020.

Walaupun harga getah Standard Getah Malaysia 20 (SMR20) lebih tinggi secara relatifnya tahun ke tahun, pengeluaran menurun sedikit, disebabkan oleh kekurangan penoreh/pekerja berikutan sekatan perjalanan rentas sempadan yang dilaksana kerajaan untuk membendung penularan virus selain kesan penyakit daun gugur Pestalotiopsis yang dilapor telah menjejaskan kira-kira 30,000 hektar ladang getah di Semenanjung Malaysia.

Dalam tempoh tersebut, sektor kebun kecil menghasilkan 90.3 peratus daripada keluaran negara.

Pengeluaran getah untuk tahun 2021 dijangka menyusut sebanyak 2.9 peratus kepada 500,000 tan manakala harga purata SMR 20 adalah dalam julat antara 680.00 sen sekilogram (kg) dan 700.00 sen sekilogram, meningkat 24-28 peratus, berbanding 548.03 sen sekilogram pada tahun 2020.

Sementara itu, harga purata susu lateks pukal dijangka antara 560.00 sen sekilogram dan 590.00 sen sekilogram, meningkat 14-20 peratus.

Cabaran

Tahun ini bukan sahaja tahun yang memberikan hasil lumayan tetapi juga tahun yang amat mencabar untuk industri. Dari sudut kelebihannya, pengeluar sarung tangan getah dibenarkan untuk beroperasi sepenuhnya kerana ia berada di bawah segmen perniagaan yang penting.

Tetapi, di sebalik keinginan bersungguh-sungguh mereka memenuhi permintaan dunia untuk sarung tangan getah dalam memerangi krisis kesihatan, kelompok/kluster COVID-19 pula menjadi tajuk utama berita, terutamanya membabitkan pengeluar utama seperti Top Glove.

Ini selain masalah kekurangan buruh atau tenaga kerja yang telah dihadapi industri walaupun sebelum pandemik melanda.

“Kekurangan itu diburukkan lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan,” kata Top Glove, sambil menambah ia kemudiannya memulakan pengambilan pekerja tempatan, terutamanya mereka yang mempunyai pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET), melebihi 2,400 tahun ini. 

Di samping itu, pelaburan dalam teknologi dan projek maju serta canggih, menggabungkan Kecerdasan  Buatan (AI) dan Automasi Proses Robotik membantu syarikat mengurangkan pergantungan kepada buruh manual dan membolehkan pekerjanya bekerja dengan lebih cekap.

Bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2021 (FY21), keuntungan bersih Top Glove melonjak 349 peratus kepada RM7.87 bilion daripada RM1.75 bilion pada tahun sebelumnya manakala hasil melambung 127 peratus kepada RM16.4 bilion daripada RM7. 24 bilion pada tahun kewangan 2020.

Prestasi yang membanggakan ini adalah disebabkan oleh permintaan sarung tangan yang kukuh selain ASP turut ditingkatkan.

Bagaimanapun, keuntungan bersih Top Glove untuk suku pertama berakhir 31 Ogos, 2022  susut kepada RM185.72 juta berbanding RM2.36 bilion yang direkodkan dalam suku yang sama tahun sebelumnya manakala pendapatan menguncup kepada RM1.58 bilion daripada RM4.76 bilion.

Ia berkata prestasi yang lebih lemah kali ini berpunca daripada harga ASP serta permintaan sarung tangan yang kembali normal berikutan pelancaran vaksin besar-besaran pada skala global manakala pelanggan mengambil sikap berhati-hati dalam menambah pesanan. 

Sementara itu dalam satu sidang media, Pengarah Urusan Datuk Lee Kim Meow berkata syarikat itu menjangkakan jumlah jualan bagi suku kedua tahun kewangan 2022, akan melonjak kira-kira 10 peratus berbanding suku pertama susulan peningkatan permintaan. 

Beliau berkata ini selepas Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan AS menarik balik larangan import ke atas produk kumpulan itu, berkuat kuasa 10 Sept, 2021.

Dakwaan penggunaan buruh paksa terhadap firma tempatan semakin meningkat 

Terdapatnya penunjuk berterusan mengenai penggunaan buruh paksa dalam industri pembuatan sarung tangan getah Malaysia mengesahkan perlunya perundangan dan dasar sedia ada untuk mengambil langkah lebih jauh menangani perhambaan moden, eksploitasi buruh dan keadaan kerja yang lemah dalam rantaian bekalan di tengah-tengah peningkatan permintaan untuk sarung tangan perubatan semasa krisis kesihatan, kata laporan yang diterbitkan oleh Pusat Dasar dan Bukti Hak Asasi Manusia dan Perhambaan Moden yang berpangkalan di UK.

Menurut ringkasan penyelidikan laporan bertajuk, “Buruh paksa dalam rantaian bekalan sarung tangan perubatan Malaysia semasa pandemik COVID-19”, isu buruh dalam rantaian bekalan sarung tangan getah telah lama wujud berdasarkan rangka kerja Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO).

Laporan itu merumuskan bahawa pengilang, kerajaan Malaysia, dan kerajaan serta agensi pengambilan pekerja di negara asal pekerja asing harus bekerjasama untuk memantau dan menambah baik proses pengambilan pekerja, terutamanya untuk menghapuskan bayaran yuran, dan menyediakan pekerja maklumat yang boleh diakses dan tepat tentang ketersediaan pekerjaan.

“Ketekunan wajar dalam pemerolehan harus termasuk pencegahan, mitigasi, dan pemulihan ikatan hutang yang berkaitan dengan yuran pengambilan,” kata ringkasan laporan itu.

Sementara itu, Margma berkata industri telah bekerjasama dengan kerajaan UK dan sebuah universiti untuk melaksanakan projek untuk menghapuskan buruh paksa.

Dibiayai oleh Pejabat Luar, Komanwel dan Pembangunan di UK, projek itu dimulakan pada 30 Ogos 2021 dan akan diteruskan hingga Januari 2022.

“Industri komited terhadap projek itu dengan harapan dapat membasmi isu buruh paksa yang mencemarkan imej industri,” presiden Margma Dr Supramaniam Shanmugam dilaporkan sebagai berkata.

Beliau menambah industri sarung tangan getah yang mengeksport ke lebih 190 negara di seluruh dunia, kini menjalani kira-kira empat peringkat audit termasuk audit dalaman, audit dipacu pelanggan, audit pihak ketiga bebas dan audit kerajaan oleh Kementerian Sumber Manusia.

Tinjauan 

Menurut bank pelaburan JP Morgan baru-baru ini, hari-hari terbaik pembuat sarung tangan Malaysia telah berakhir, permintaan untuk sarung tangan getah telah memuncak dan harganya akan menurun serta kembali normal selepas itu.

Penganalisis ekuiti Rakuten Trade Thong Pak Leng bersetuju dengan pandangan ini sambil menambah pada tahun 2021, sektor sarung tangan tidak lagi menjadi kaunter kegemaran di Bursa Malaysia, bukan seperti pada 2020 apabila ia benar-benar menguasai perdagangan.

“Sektor ini agak kurang berprestasi berbanding sektor lain sejak beberapa bulan lalu berikutan pemulihan dan pembukaan semula ekonomi telah memberi pelabur lebih banyak pilihan saham lain seperti perladangan, minyak dan gas serta perjudian/permainan,” katanya kepada Bernama.

Thong berkata Indeks Penjagaan Kesihatan Bursa melepasi prestasi penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI sebanyak 18.9 peratus dalam tempoh 12 bulan lepas.

Justeru, dari segi pertumbuhan, selepas dua tahun mempamerkan kegemilangan, industri getah Malaysia dijangka mengalami pertumbuhan negatif sebanyak 27 peratus pada 2022 kepada RM60 bilion berbanding RM82 bilion yang dianggarkan pada 2021.

Menurut Lembaga Getah Malaysia (LGM), nilai eksport getah asli (NR) diunjur meningkat sebanyak tiga peratus kepada RM7.2 bilion, getah lain RM2.6 bilion (+4 peratus), kayu hevea RM10 bilion (+5 peratus), manakala sektor produk getah diramal merosot 37 peratus kepada RM40 bilion.

“Ini terutamanya disebabkan margin rendah daripada industri sarung tangan disebabkan penurunan mendadak dalam harga jualan sarung tangan pada 2022 walaupun permintaan untuk sarung tangan dijangka berterusan sehingga suku kedua 2022.

“Bagaimanapun, secara keseluruhan, prestasi industri tahun depan masih tinggi daripada kadar sebelum COVID-19 (2019: RM40.77 bilion),” kata ketua pengarah Datuk Dr Zairossani Mohd Nor.

Mengenai pengeluaran getah asli pada 2022, beliau berkata ia dijangka mencecah 540,000 tan metrik, lebih tinggi daripada pengeluaran yang dicatatkan pada 2021.

Harga purata SMR20 dijangka berlegar daripada 650.00 sen sekilogram kepada 700.00 sen sekilogram pada 2022 manakala harga purata lateks pukal diunjur bergerak 550.00 sen sekilogram kepada 600.00 sen sekilogram.

“Permintaan getah masih dalam fasa pemulihan dan ia akan bergantung pada cara ekonomi berkembang di negara-negara pengguna getah.”

Berkongsi pandangan yang sama, Top Glove berkata permintaan sarung tangan berkemungkinan meningkat antara 10 peratus dan 15 peratus setahun, didorong oleh tahap kesedaran dan piawaian kebersihan yang tinggi dalam sektor perubatan dan bukan perubatan.

“Pertumbuhan permintaan juga akan disokong oleh kemunculan strain virus baharu seperti Omicron, walaupun ketika dunia bergerak ke peringkat endemik.

“Permintaan sarung tangan global dijangka stabil pada kadar yang lebih tinggi berikutan peningkatan kesedaran kebersihan dan penggunaan sarung tangan,” kata Top Glove.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here