SHAH ALAM, 15 Dis — Universiti Teknologi Mara (UiTM) melonjak pada kedudukan ke-150 terbaik di dunia daripada keseluruhan 956 institusi pengajian tinggi lain dalam penarafan UI GreenMetric (UIGM) World University Rankings 2021 yang diumumkan semalam, berbanding kedudukan ke-184 pada tahun lepas.

Menerusi kenyataan hari ini, universiti itu memaklumkan kedudukannya masih kekal di tangga kesembilan daripada 28 universiti tempatan yang mengambil bahagian secara keseluruhannya.  

Penyertaan universiti tempatan pada tahun ini juga meningkat berbanding 20 universiti pada tahun sebelumnya, menurut kenyataan itu.

UiTM memberitahu penarafan tersebut diperkenalkan oleh Universitas Indonesia (UI) dengan tujuan untuk menukar komitmen universiti terhadap usaha melestarikan kampus menerusi enam kriteria utama iaitu Infrastruktur, Bahan Buangan, Air, Tenaga,  Pengangkutan serta Pendidikan dan Penyelidikan.

Jelasnya, walaupun berhadapan dengan pandemik COVID-19 dan kesannya sejak dua tahun lepas, institusi itu terus komited dalam usahanya untuk menjadi Kampus Bestari menjelang 2025 seperti yang digariskan di bawah Teras Strategik 8 (Smart Campus) dalam Pelan Strategik UiTM2025.

“Penubuhan UiTM Green Centre dan Institut Kelestarian dan Biodiversiti yang ditubuhkan pada tahun lepas adalah antara usaha dan komitmen UiTM ke arah mencapai agenda tersebut,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here