KUALA LUMPUR, 24 Dis — Universiti Putra Malaysia (UPM) hari ini menggerakkan 200 pelajarnya ke Misi Sukarelawan Bantuan Mangsa Banjir di sekitar Puchong, Subang, Petaling dan Sungai Buluh di Selangor.

Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata misi sukarelawan itu diharap akan dicontohi pihak lain terutamanya dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi bagi membangkitkan keprihatinan serta semangat kesukarelawan pelajar.

“Saya berbangga dengan semangat sukarelawan UPM dan kita harus membantu sedaya upaya kita dalam misi pembersihan rumah mangsa-mangsa banjir di kawasan tersebut yang secara langsung dapat menggembirakan mereka yang terkesan dengan musibah banjir,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan UPM hari ini.

Menurut kenyataan itu, UPM juga mengedarkan makanan kepada mangsa banjir dan mewujudkan Program Dapur Rezeki @UPM yang dijangka beroperasi hingga Ahad ini.

UPM bermula 21 Dis lepas turut membantu merawat haiwan yang terkesan dengan banjir di Shah Alam secara percuma melalui kerjasama antara Persatuan Perubatan Veterinar Malaysia (MAVMA), Fakulti Perubatan Veterinar (FPV) dengan Persatuan Doktor Veterinar Haiwan Kesayangan Malaysia (MSAVA) selain disokong oleh doktor veterinar daripada pelbagai agensi dan klinik. 

Pada masa sama, UPM bersetuju memberikan tempoh bertenang terhadap pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) kepada pelajarnya sepanjang tempoh bencana banjir, berkuat kuasa semalam hingga 26 Dis ini.

Sementara itu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dalam kenyataannya hari ini memberikan beberapa kelonggaran untuk membantu pelajarnya yang terkesan akibat bencana banjir hasil keputusan daripada Senat Universiti yang bermesyuarat pada hari ini.

Menurut kenyataannya, UIAM membenarkan pelajarnya yang terkesan memohon cuti belajar bagi semester satu, sidang 2021/2022 dengan pengecualian bayaran yuran dan melalui kemudahan itu, mereka akan dikecualikan daripada jumlah kiraan semester tempoh pengajian.

UIAM turut membenarkan pelajarnya menggugurkan subjek yang didaftar untuk semester berkenaan walaupun jumlah kiraan kredit keseluruhan berada di bawah syarat minimum namun mestilah mendapat kelulusan dari Pusat Pengajian dan juga akan dikecualikan bayaran yuran bagi subjek berkenaan.

“Selain itu, pelajar terbabit yang tidak dapat menduduki peperiksaan akhir semester berkenaan juga dibenarkan memohon untuk menduduki peperiksaan khas dengan kelulusan oleh Pusat Pengajian masing-masing,” menurut kenyataan itu. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here