PUTRAJAYA, 28 Dis — Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata bilangan negara yang dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi susulan penularan varian Omicron kini adalah 18 buah.

Beliau berkata jumlah dalam senarai itu bertambah selepas kerajaan Malaysia menarik semula sekatan perjalanan sementara ke atas lapan negara iaitu Afrika Selatan, Botswana, Eswatini, Lesotho, Mozambique, Namibia, Zimbabwe dan Malawi. 

“Kesemua lapan negara ini kini dimasukkan ke dalam senarai negara berisiko tinggi menjadikan jumlah negara yang berisiko tinggi kini adalah 18 buah,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Khairy berkata Kementerian Kesihatan menyarankan agar rakyat Malaysia menangguhkan perjalanan ke negara terbabit sekiranya tiada keperluan.

Negara lain ialah United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Arab Saudi, Norway, Perancis, Denmark, India, Kanada dan Nigeria.

Beliau turut memaklumkan Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) telah menjalankan ujian PCR Genotyping Assay ke atas 366 sampel kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara dari 21 hingga 25 Dis lepas.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 306 menunjukkan berkemungkinan varian Omicron dan kini menunggu keputusan ujian jujukan penuh genom (WGS),” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here