BEIJING, 18 Jan  — Presiden China, Xi Jinping menyeru dunia melaksanakan segala yang perlu dalam menghadapi rintangan pandemik COVID-19.

Dalam ucaptamanya sempena sesi tahunan Davos Forum Ekonomi Dunia (WEF) menerusi pautan video malam Isnin, beliau berkata dunia perlu berusaha merangsang pemulihan sosioekonomi agar harapan rakyat kembali bersinar.

“Jawapan harus diberikan kepada persoalan utama mengenai cara mengatasi pandemik COVID-19 serta membina dunia pasca pandemik. 

Ia merupakan isu utama yang menjadi kebimbangan rakyat serata dunia,” kata Xi.

Jelasnya, dunia ketika ini mengalami perubahan besar yang tidak pernah terjadi dalam tempoh satu abad, selain ia berlaku secara mendalam dan menyeluruh.

Xi berkata bahawa solidariti dan kolaborasi masyarakat antarabangsa dalam memerangi wabak adalah sangat diperlukan.

“Di tengah krisis global, bot kecil tidak dapat bertahan dalam ribut kencang, namun dengan adanya kapal gergasi, mereka mampu menghadapi ombak besar,” ujar beliau.

Xi berpendapat, semua negara perlu bekerjasama dalam melawan wabak, melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) ubat-ubatan, memperkukuh benteng pengawalan dan pencegahan terhadap penularan wabak serta menggerakkan usaha membina komuniti kesihatan sesama insan.

Beliau turut menekankan bahawa amalan multilateralisme (kerjasama pelbagai hala) sebenar perlu menjadi pegangan setiap negara tatkala memantapkan peremajaan ekonomi global.

“Kita harus menghapuskan halangan, bukan membina tembok. Kita patut kekal terbuka, bukan menutup pintu. Kita harus mewujudkan integrasi, bukan mencantas. Inilah cara untuk membina ekonomi dunia yang terbuka,” ujar Xi.

Pada pandangan beliau, globalisasi ekonomi harus bergerak ke arah lebih terbuka, inklusif, memanfaatkan semua, seimbang dan saling menguntungkan, katanya.

Menyentuh mengenai jurang pembangunan, Xi menyarankan supaya konsep pembangunan berpaksikan rakyat menjadi keutamaan dalam menghadapi sebarang cabaran.

Usaha menggerakkan pembangunan dan memastikan kesejahteraan rakyat terjamin harus dititikberatkan dalam dasar makro global.

Dengan mengoptimumkan mekanisme usaha sama yang sedia ada, negara terbabit perlu menyumbang kepada pembangunan seimbang di peringkat global.

Pada masa sama, Xi turut menekankan pentingnya hidup bersama secara damai dan mengabaikan mentaliti Perang Dingin demi keuntungan bersama.

Menurut beliau, negara dan tamadun yang berbeza boleh hidup makmur bersama berlandaskan rasa hormat antara satu sama lain, dan mencari titik persamaan dengan menghapuskan perbezaan.

Xi menyeru agar negara terbabit mengikuti aliran sejarah, memelihara peraturan antarabangsa, menyemarakkan nilai kemanusiaan, dan berusaha ke arah berkongsi nasib komuniti sesama insan.

“Kita harus memilih dialog berbanding konfrontasi, keterangkuman berbanding pengecualian, dan menentang semua bentuk unilateralisme, perlindungan, hegemoni atau politik kuasa,” kata Xi.

Sementara itu, Presiden Xi menyuarakan keyakinan terhadap masa depan ekonomi China.

Untuk rekod, prestasi ekonomi China kekal utuh secara keseluruhan apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menokok sekitar 8 peratus pada 2021, dan mencapai dua sasaran iaitu pertumbuhan agak tinggi serta inflasi rendah.

Selain itu, Xi turut mengulangi komitmen China memajukan pembangunan berkualiti tinggi, memantapkan pembaharuan dan pintu terbuka serta membina tamadun ekologi.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here