KUALA LUMPUR, 25 Jan — Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) menyasarkan untuk menanam cili sebanyak 21,000 polibeg menerusi Projek Agropreneur Asnaf sepanjang dua tahun melibatkan kos sebanyak RM450,000.

Pengerusi MAIWP, Tan Sri Dr Mohd Daud Bakar berkata projek yang membabitkan 10 hingga 15 peserta asnaf B40 dijalankan di atas tanah seluas 2.3 hektar sejak Disember lepas itu turut memberi pendedahan kepada peserta berkaitan selok belok urus niaga dan setiap polibeg menghasilkan dua kilogram (kg) cili.

“Ini bermakna, dengan 21,000 polibeg, sebanyak 42,000 kg atau 42 tan cili dapat dikeluarkan bagi setiap musim atau setiap enam bulan,” katanya selepas pelancaran Tahun Wakaf Wilayah Persekutuan 2022 dan Perasmian Projek Agropreneur Asnaf di sini hari ini. 

Beliau berkata elaun tetap peserta akan diberikan oleh syarikat yang bekerjasama dalam projek berkenaan  iaitu Grasicili dan kadar keuntungan akan dikongsi bersama peserta. 

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Idris Ahmad merasmikan program itu. Turut hadir Timbalan Menterinya Datuk Ahmad Marzuk Shaary. 

Sementara itu, pada majlis yang sama, Mohd Daud berkata seramai 1,200 orang Guru-guru Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) di Wilayah Persekutuan akan menerima kenaikan bantuan elaun guru KAFA sebanyak RM300 bermula bulan ini, sekali gus menjadikan jumlah elaun bulanan meningkat kepada RM1,800 sebulan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here