KUALA LUMPUR, 4 Feb — Penularan COVID-19 yang berkemungkinan meningkat semula terus mewujudkan risiko penurunan kepada pengilang berorientasikan perdagangan dan prospek eksport meskipun impaknya kurang serius dan bersifat sementara.

Kenanga Research berkata vaksinasi penduduk yang lebih tinggi dan kempen vaksin dos penggalak yang agresif, didorong pengembangan fiskal yang agak besar dan pelbagai sokongan yang sedang dijalankan, akan membantu mengukuhkan sektor berkaitan.

“Berikutan itu, kami mengekalkan ramalan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 pada 5.5 peratus. Sementara itu, pertumbuhan KDNK pada 2021 dijangka berada dalam unjuran kami iaitu 3.5-4.0 peratus.

“Bagaimanapun, kami mengekalkan prospek berhati-hati pada 2022 memandangkan ramalan kami masih tertakluk kepada risiko penurunan berkaitan perkembangan varian baharu COVID-19, kekurangan bahan mentah dan buruh dan strategi sifar COVID-19 di China yang berupaya melanjutkan gangguan rantaian bekalan global,” katanya menerusi nota hari ini.

Indeks Pengurus Pembelian (PMI) Pembuatan Malaysia oleh IHS Markit bagi Januari 2022 susut kepada 50.5 berbanding 52.8 pada Disember 2021 berikutan pemulihan sektor pembuatan telah terjejas disebabkan kekurangan bahan mentah yang berterusan dan kenaikan harga.

MIDF Research berkata meskipun wujud kebimbangan terhadap varian Omicron, perniagaan kekal optimis kerana mereka yakin menerima impak kurang serius berbanding semasa awal pandemik, selain berharap permintaan akan meningkat dalam tempoh 12 bulan akan datang.

“Pada masa akan datang, kami menjangka pemulihan selanjutnya bagi aktiviti perbelanjaan domestik, serta permintaan luaran yang meningkat akan mendorong aktiviti pembuatan di Malaysia pada bulan-bulan akan datang.

“Selain itu, kami berpendapat kos pengeluaran akan berkurangan pada masa akan datang berikutan penambahbaikan bagi kesesakan rantaian bekalan global seperti yang dinyatakan dalam Indeks Kering Baltik dan Indeks Tekanan Rantaian Bekalan Global,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here