NIBONG TEBAL, 5 Feb — Penduduk yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS) berikutan kebakaran tapak pelupusan sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini, masih belum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.

Walaupun kebakaran di tapak tersebut telah dipadamkan sepenuhnya pada 31 Jan lepas, Pengerusi Jawatankuasa Bencana Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) Marlia Mohd Belia, yang juga Pegawai Daerah SPS, berkata masih terdapat pencemaran udara di kawasan rumah penduduk terlibat, yang boleh memberi kesan kepada kesihatan mereka.

Justeru, katanya Jawatankuasa Bencana SPS telah membuat keputusan untuk belum membenarkan penduduk, terutama 44 orang dari 10 keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Saujana Indah, untuk pulang ke rumah mereka.

Bagaimanapun, menurutnya difahamkan ada penduduk yang sebelum ini berpindah ke rumah saudara-mara telah pulang ke kediaman masing-masing, dan pihaknya tidak dapat berbuat apa-apa kerana ia atas kerelaan mereka sendiri.

“Ketika ini kawasan tapak pelupusan sampah itu masih diisytiharkan sebagai kawasan bencana tahap 1,” katanya pada sidang akhbar yang turut dihadiri Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow di sini hari ini.

Sebelum ini, kira-kira 400 penduduk daripada 90 keluarga yang tinggal berhampiran tapak pelupusan sampah itu dipindahkan sementara ke lokasi selamat, berikutan ruang udara kawasan kediaman mereka dipenuhi asap berbahaya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar negeri Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata pihaknya mendapati, bacaan indeks pencemaran udara (IPU) di kawasan itu semakin baik namun masih belum mencapai tahap yang sepatutnya, dan masih terdapat pencemaran gas yang berbahaya kepada penduduk.

Beliau berkata beberapa siri hujan di Pulau Burung telah membantu memulihkan kualiti udara dan beliau turut dimaklumkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia bahawa, hujan akan turun lagi dalam sehari dua ini yang diharapkan akan membantu menghilangkan pencemaran tersebut.

Dalam pada itu, Chow berkata Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) akan membentangkan laporan kejadian itu kepada exco minggu hadapan, untuk menggariskan cadangan langkah-langkah, khususnya terhadap syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah Pulau Burung dan seterusnya menilai prestasi syarikat itu dalam menguruskan tapak tersebut sejak dilantik pada 2012.

“Isu-isu konsesi dan lain-lain akan tertakluk pada pembentangan dan perbincangan itu sebelum satu keputusan diambil, manakala berhubung tindakan terhadap syarikat pengurusan itu pula, ia dibuat selepas perbincangan nanti,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here