JOHOR BAHRU, 9 Feb — Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Feb manakala pengundian awal pada 8 Mac.

Pengumuman dibuat Pengerusi SPR Datuk Abdul Ghani Salleh pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas SPR berhubung pilihan raya negeri itu di sini hari ini.

Beliau berkata Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRN Johor ke-15 ini adalah Daftar Pemilih Induk 2021 yang dikemas kini sehingga 21 Jan 2022.

“Daftar pemilih tersebut mengandungi seramai 2,597,742 pengundi yang terdiri daripada 2,574,835 orang pengundi biasa; 10,955 orang anggota tentera dan pasangan; 11,576 anggota polis dan pasangan Polis Pasukan Gerakan Am serta 376 orang Pengundi Tidak Hadir (PTH) Luar Negara,” kata beliau.

Sementara itu, dalam satu kenyataan, Abdul Ghani berkata PRN bagi mengisi kekosongan 56 kerusi Dewan Negeri itu dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM96 juta.

Beliau berkata seramai 56 orang pegawai pengurus pilihan raya dilantik yang dibantu oleh 186 orang penolong pegawai pengurus manakala 49,290 orang petugas akan dilantik bagi mengendalikan proses Pilihan raya Umum (PRU) Dewan Negeri Johor ke-15.

“Manakala, sebanyak 1,021 buah pusat mengundi biasa yang mengandungi 4,638 tempat mengundi atau saluran dan 63 pusat mengundi awal bagi pengundian yang mengandungi 82  tempat mengundi atau saluran awal akan digunakan,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here