BEIJING, 10 Feb — Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing 2022 merupakan satu kebanggaan buat seluruh Asia, kata Presiden Jawatankuasa Olimpik Indonesia, Raja Sapta Oktohari.

Dalam wawancara dengan Kumpulan Media China (CMG) baru-baru ini, beliau berkata temasya itu juga memberi peluang dan harapan baharu kepada atlet Asia, khususnya dari Asia Tenggara untuk menceburi sukan ais dan salji.

Menyentuh mengenai majlis pembukaan temasya sukan tersebut, Oktohari menyifatkan acara itu sebagai dianjurkan secara gilang-gemilang dengan penerapan pelbagai teknologi canggih. 

“Beijing telah menyajikan majlis pembukaan Olimpik penuh meriah dan gemilang untuk rakyat dunia, serta menonjolkan konsep solidariti, kolaborasi serta mesra alam,” katanya.

Beliau menambah, sistem gelung tertutup yang dilaksanakan sepanjang Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing direka dengan rapi dan mampu memastikan kesihatan dan keselamatan semua peserta.

Penganjuran temasya berkenaan diyakini mengukuhkan keyakinan rakyat semua negara untuk bersama-sama mengharungi detik sukar ini.

China berjaya mencapai matlamat supaya 300 juta rakyatnya menyertai sukan ais dan salji, sementara infrastruktur yang berkaitan juga memperlihatkan kemajuan ketara, tambahnya.

“Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing telah mencetuskan peluang baharu bagi perkembangan sukan ais dan salji global.

“Negara-negara Asia Tenggara kini juga berhasrat meneroka kerjasama dengan China dalam bidang berkenaan,” katanya.

Pihaknya akan terus mempergiat kerjasama dengan Jawatankuasa Olimpik China dalam sukan musim panas serta sukan ais dan salji, katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here