BEIJING, 11 Feb — Perkhidmatan katering di pusat media utama Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing dilengkapi pelbagai teknologi pintar, seperti tukang masak robot dan kaedah penghantaran makanan tanpa kontak mencuri perhatian ramai.

Pendekatan tersebut meminimumkan penggunaan tenaga manusia dalam penyediaan makanan, sekali gus menjamin kesihatan petugas media dan pekerja kantin ketika ancaman COVID-19 masih berleluasa.

Dengan keluasan kira-kira 3,000 meter persegi, kantin itu dibahagikan kepada zon layan diri dan zon masakan pintar.

Demi memenuhi keperluan cita rasa berbeza petugas media dari seluruh dunia, kantin pintar itu turut menyediakan pelbagai masakan, termasuk masakan China dan Barat.

Menurut petugas kantin, Malatang (rebusan pedas) dan nasi daging kaserol antara hidangan paling popular di kantin tersebut.

Teknologi pintar turut menjadi daya tarikan untuk pihak media merasai sendiri pengalaman menerima layanan robot di kantin itu.

Pengamal media Poland, Marek Solecki berkata, setiap pelanggan yang berkunjung ke kantin itu pasti kagum dengan elemen berteknologi tinggi yang dipamerkan.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here