BEIJING, 17 Feb — Presiden China, Xi Jinping pada Rabu mengadakan perbincangan menerusi telefon dengan rakan sejawatnya dari Perancis, Emmanuel Macron yang menyentuh mengenai pelbagai aspek termasuk hubungan dua hala.

Selain bertukar-tukar ucapan selamat tahun baharu, kedua-dua pemimpin saling menyatakan harapan dan sokongan terhadap atlet dan kejayaan temasya Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022.

Mengenai hubungan bilateral, Xi menekankan berkaitan pencapaian memberangsangkan yang dicapai antara China dan Perancis pada 2021.

“Jumlah dagangan dua hala melebihi US$80 bilion (RM335 bilion), sementara jumlah produk pertanian diimport dari Perancis meningkat 40 peratus.

“Seminar Kerjasama AI dan Sains Teknologi Pertanian pertama turut diadakan mengikut jadual dan buku panduan projek makmal diterbitkan secara bersama, sekali gus membawa makna signifikan terhadap kedua-dua pihak,” kata Xi.

Beliau berkata mengambil semangat tahun baharu, China-Perancis perlu meneruskan hala tuju yang positif, sihat dan maju, meningkatkan interaksi dan dialog pelbagai peringkat, mengintensifkan persefahaman dan kepercayaan dengan mengamalkan prinsip saling menghormati sehingga mendorong kepada pencapaian baharu.

Di samping itu, Xi juga menyatakan kesediaan untuk menggalakkan pertemuan pemimpin China- Kesatuan Eropah (EU), menganjurkan dialog peringkat tinggi sektor strategik, ekonomi perdagangan, hijau, digital dan sosiobudaya pusingan baharu.

Menurutnya usaha untuk terus mempromosi perjanjian pelaburan (BIT) China-EU agar dapat diratifikasikan dengan segera perlu dilakukan kerana ia akan membawa manfaat kepada rakyat kedua-dua negara.

Sementara itu Macron berkata memandangkan situasi antarabangsa yang tidak menentu, pihaknya berharap untuk mengintensifkan hubungan rakan strategik komprehensif dengan China.

Selaku pengerusi bergilir EU, Perancis akan giat meneruskan semua agenda positif EU-China, berusaha bersama-sama memastikan hubungan Eropah-China terus berkembang, serta mengharapkan agar BIT EU-China mencapai kemajuan.

Mengenai situasi terkini Ukraine, Xi menegaskan pihak terbabit perlu mengamalkan wahana multilateral termasuk mekanisme “Normandy Format” dalam mencari jalan penyelesaian.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here