KUALA LUMPUR, 25 Feb — Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein yang menjalani isolasi di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan bagi rawatan dan pemantauan selepas disahkan positif COVID-19, dibenarkan keluar dari hospital itu petang ini.

Beliau yang dijangkiti COVID-19 Isnin lepas, dimasukkan ke hospital berkenaan sehari selepas itu.

Hishammuddin menerusi ciapan di Twitter rasminya hari ini berkata hasil penilaian mendapati gejala yang dialami beliau telah pulih dan pasukan perubatan berpuas hati dengan tahap kesihatannya. 

“Saya dibenarkan keluar wad petang ini. Namun saya masih diwajibkan terus jalani isolasi di kediaman mengikut ketetapan Kementerian Kesihatan.

“Setinggi-tinggi penghargaan kepada pasukan perubatan HAT Tuanku Mizan yang telah menjaga dan merawat dengan sebaik mungkin sepanjang saya menjalani isolasi di hospital ini. Saya juga hargai rakan-rakan serta rakyat Malaysia yang prihatin dan mendoakan kesembuhan saya,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here