KUALA LUMPUR, 8 Mac  — Kerajaan negeri perlu memberikan keutamaan dan menyegerakan kelulusan permohonan pengambilan tanah untuk projek kerajaan Persekutuan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Menteri Besar dan Ketua Menteri (MBKM) Ke-138 yang dipengerusikannya di Putrajaya secara bersemuka, hari ini.

Ismail Sabri berkata tanah projek yang melibatkan jajaran diluluskan secara perizaban manakala tapak pusat operasi, pejabat atau stesen diluluskan secara pemberimilikan. 

“Mesyuarat membuat keputusan agar kerajaan negeri membantu menyelesaikan isu halangan di atas tanah kerajaan negeri yang terlibat dengan projek-projek kerajaan berkepentingan awam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut perdana menteri, perbincangan lanjut akan diadakan berhubung kadar premium yang dikenakan untuk pemberimilikan dan cukai tanah oleh kerajaan negeri selaras dengan ketetapan yang telah dibuat oleh Majlis Tanah Negara.

Perdana Menteri berkata kerajaan bertanggungjawab menyediakan kemudahan infrastruktur berkualiti untuk kemudahan Keluarga Malaysia bagi merangsang pertumbuhan ekonomi, bagaimanapun isu tanah menyebabkan kelewatan dan secara tidak langsung memberi implikasi kewangan kepada kerajaan. 

Selain itu, Ismail Sabri berkata Program Pembasmian Kemiskinan Tegar Keluarga Malaysia (BMTKM) akan mula dilaksanakan bulan depan melibatkan 480 lokaliti rintis di seluruh negara yang turut membabitkan penglibatan semua pihak khususnya kerajaan negeri.

Beliau berkata program itu menggunakan beberapa pendekatan termasuk menubuhkan unit kemiskinan khusus di peringkat persekutuan, negeri dan daerah selain mewujudkan pangkalan data kemiskinan bersepadu serta berpusat.

Katanya pendekatan lain adalah mempertingkat program pendekatan dari bawah ke atas melalui pendekatan keseluruhan negara dan melaksanakan penyelesaian kemiskinan pada peringkat akar umbi.

Menurutnya program yang bertujuan membasmi miskin tegar pada 2025 itu akan bermula dengan fasa satu melibatkan 80 lokaliti rintis di seluruh negara, sementara fasa dua dan fasa tiga bermula pada September dan Disember tahun ini manakala fasa 4 sehingga fasa 6 bakal dilaksanakan tahun depan. 

“BMTKM sejajar dengan dasar dan strategi baharu untuk membasmi kemiskinan tegar RMK12 (Rancangan Malaysia Ke-12),” katanya. 

Perdana Menteri berkata mesyuarat hari ini turut dimaklumkan mengenai 20 strategi pengurusan bencana disebabkan cuaca yang tidak menentu akibat pemanasan global.

Beliau berkata daripada jumlah itu, 11 merupakan penyelesaian jangka pendek termasuk memastikan kesiapsiagaan infrastruktur tebatan banjir (pam, pintu air dan set generator) pada tahap optimum dengan kerjasama kerajaan negeri, menyelenggara, mendalam dan membersih sistem saliran serta takungan banjir.

“Selain itu, menaik taraf 516 stesen siren dan 155 stesen kamera web sedia ada dan membangunkan 361 stesen kamera web baharu, menaik taraf 100 stesen pencerapan cuaca menggunakan peralatan berteknologi tinggi yang boleh mengeluarkan ramalan dan amaran cuaca masa nyata dan boleh percaya.

“… meningkatkan keupayaan aplikasi myCuaca untuk penyampaian maklumat kritikal yang efisien dan berkesan kepada Keluarga Malaysia,” katanya.

Penyelesaian jangka panjang pula termasuk pembangunan Akta Adaptasi Sektor Air untuk memperkasa tadbir urus adaptasi perubahan iklim sektor air, pendekatan penyelesaian berasaskan alam semula jadi seperti pembinaan denai sungai sebagai platform penglibatan masyarakat.

Selain itu, meningkatkan kapasiti takungan air banjir dan memperkasa pelaksanaan pendekatan Pengurusan Lembangan Sungai Bersepadu.

Ismail Sabri berkata mesyuarat juga bersetuju supaya lebih banyak sesi libat urus antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri terutama melibatkan projek-projek pembangunan di negeri-negeri.

Beliau berkata dalam RMK12 kerajaan memberi tumpuan kepada projek infrastruktur berimpak tinggi seperti projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), landasan berkembar elektrik Gemas ke Johor Bahru dan Projek Sistem Transit Rapid (RTS).

Projek lain adalah Lebuh raya Pantai Barat (WCE), Central Spine Road dan Lebuh raya Kota Bharu – Kuala Krai yang semuanya akan memberi limpahan ekonomi kepada negeri-negeri terbabit.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here