KUALA LUMPUR, 10 Mac —  Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) akan bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam menyegerakan persiapan bagi menerima pelancong dari luar negara.

Ini susulan pengumuman kerajaan bahawa sempadan negara akan dibuka semula 1 April ini yang diharapkan dapat merancakkan semula industri pelancongan dan kebudayaan negara yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19

“Tempoh bagi tahun 2022 hingga 2023 merupakan fasa yang kritikal bagi pemulihan industri pelancongan dan kebudayaan,” menurut MOTAC dalam kenyataan hari ini.

Justeru, kementerian berkenaan memaklumkan terdapat beberapa perkara yang akan ditekankan sepanjang tempoh pemulihan itu iaitu pelancongan domestik dan antarabangsa; merancakkan kembali ekosistem kesenian dan kebudayaan serta memperkayakan aktiviti penjanaan ekonomi melalui industri kreatif daripada bidang kesenian dan kebudayaan.

“Turut diberi penekanan adalah menambah nilai kepada acara perniagaan; menaik taraf dan menyelenggara kemudahan pelancongan termasuk bangunan dan tapak warisan negara dan pembukaan sempadan negara,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga memaklumkan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Nancy Shukri telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Kebangsaan Pembangunan Pelancongan dan Kebudayaan (JKPPK) Bilangan 1 Tahun 2022 di sini hari ini.

“Selain penglibatan wakil dari kementerian, mesyuarat ini juga melibatkan penyertaan daripada Exco-exco Pelancongan dan Kebudayaan serta jabatan atau agensi kerajaan negeri yang berkaitan.

“Mesyuarat ini merupakan satu platform di antara MOTAC dan kerajaan negeri bagi membincangkan isu dan perkongsian maklumat mengenai pembangunan industri pelancongan dan kebudayaan terutamanya di peringkat negeri,” menurut kenyataan itu.

Kementerian itu berkata terdapat empat kertas makluman telah dibentangkan iaitu Dasar Kebudayaan Negara (DAKEN) yang telah dilancarkan pada 26 Oktober 2021; Belanjawan 2022 di bawah Sektor Pelancongan dan Kebudayaan; Dana di Bawah Seliaan Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) dan Zon Pelaburan Pelancongan Khas (STIZ).

“Perkara-perkara yang telah dibincangkan semasa mesyuarat tersebut termasuklah bantuan atau insentif kerajaan bagi memastikan kelangsungan penggiat industri; promosi dan pemasaran bagi produk pelancongan dan kebudayaan di negeri; tenaga kerja di dalam industri pelancongan dan kebudayaan termasuk pembangunan modal insan dan pembukaan sempadan negara,” menurut kenyataan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here