KUALA LUMPUR, 11 Mac — Penubuhan Tabung Usahawan Belia Felda dengan dana permulaan RM10 juta akan mampu merancakkan lagi aktiviti ekonomi selain menyediakan lebih banyak peluang pekerjaan di kawasan rancangan Felda.

Mahmud Faizul Mohd Isro, belia dari Felda Sungai Tengi, Selangor berkata tabung dan peruntukan dana itu menunjukkan keprihatinan kerajaan, dan ia amat dihargai oleh generasi baharu Felda yang menjalankan perniagaan di kawasan rancangan Felda berkenaan.

“Saya sendiri menjalankan perniagaan makanan amat menghargai jika dapat menerima dana untuk membantu saya mengembangkan perniagaan dengan menambah peralatan atau meningkatkan automasi dalam pemprosesan makanan di bengkel saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rabu lepas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan mewujudkan tabung itu dengan dana permulaan RM10 juta daripada Felda.

Dana itu berupaya melonjakkan taraf sosioekonomi generasi baharu Felda selain menjadi pemangkin aktiviti ekonomi di kawasan rancangan Felda termasuk pemerkasaan ekonomi digital.

Sementara itu Mazuan Zainal Abidin yang berasal dari Felda Raja Alias 4, Negeri Sembilan, merupakan antara usahawan belia yang menyambut baik inisiatif berkenaan yang secara tidak langsung membantu memperkasakan aktiviti keusahawan dalam kalangan golongan belia.

“Saya sangat gembira dengan pengumuman oleh Perdana Menteri ini. Walaupun pengumuman ini masih baharu dan mungkin masih di peringkat awal, saya amat gembira akan peluang yang bakal disediakan ini,” katanya.

Beliau yang menjalankan perniagaan secara atas talian berkata peluang-peluang dana seperti ini akan membantu beliau untuk melebarkan perniagaannya.

“Ia juga mungkin akan dapat membantu dari segi pemasaran kerana perniagaan digital ini sangat bergantung kepada aspek pemasaran,” katanya sambil menambah beliau berhasrat untuk membuka kedai secara fizikal jika menerima dana seperti Tabung Usahawan Belia Felda.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here