TANJUNG MALIM, 10 Mac — Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), menerusi Pusat Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), melaksanakan sepenuhnya sistem aplikasi dalam persekitaran sumber terbuka yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Bersepadu Universiti (SMBU).

Naib Canselor UPSI Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata sistem itu berpotensi dikomersialkan dengan adaptasi di agensi mempunyai pengurusan dan proses kerja yang sama.

“Usaha ini diharap menjadi pemangkin ke arah meningkatkan pelaksanaan penyelesaian berasaskan sumber terbuka di agensi sektor awam dan mewujudkan kolaboratif bersama komuniti antara agensi sektor awam, swasta, akademia dan industri,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Ketua Pegawai Maklumat Norazizah Othman pula berkata sistem serba lengkap itu menyokong semua aktiviti teras universiti menggunakan pangkalan data tunggal.

“SMBU terdiri daripada enam sistem utama iaitu sistem maklumat kewangan, sistem maklumat akademik dan rekod pelajar, sistem maklumat sumber manusia dan pentadbiran, sistem pengurusan penyelidikan bersepadu, sistem pembelajaran elektronik dan portal MyUPSI.

“Projek migrasi SMBU menggunakan kepakaran dalaman UPSI sepenuhnya serta graduan daripada Program Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Perisian, Fakulti Seni Komputeran & Industri Kreatif UPSI yang dilantik sebagai pembangun sistem bagi mewujudkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang boleh diserap ke dalam industri.

“Projek yang dilaksanakan secara berfasa bermula akhir 2018 hingga hujung tahun lepas dibangunkan semula menggunakan rangka kerja pembangunan sistem terkini serta pengukuhan aspek keselamatan maklumat bagi memastikan keserasian dengan keperluan dan perubahan teknologi,” katanya.

Menurut kenyataan itu, UPSI berjaya melakukan penjimatan kos tahunan pelesenan produk generik melebihi RM500,000 yang secara tidak langsung mampu mengurangkan kos operasi universiti dan mampu menggalakkan inovasi menerusi pemanfaatan teknologi ICT baharu.

Dalam kenyataan berasingan, UPSI memaklumkan seramai lima peserta daripada Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif (FSKIK), Jabatan Keluarga dan Sains Konsumer, Fakulti Teknikal dan Voksional dan pelajar semester tujuh terpilih menerima tajaan dari Dbilique Media Sdn Bhd sebanyak RM10,000 seorang.

Ketua Jabatan Seni dan Reka Bentuk FSKIK Dr Harleny Abd Arif berkata mereka menerima tajaan mengikuti program Inkubator Artisan Batik: Sungei Wang Batik Revival 2022 sekali gus memberi peluang kepada mereka berentap di pentas akhir pertandingan peragaan batik peringkat kebangsaan.

“Kami di antara 15 peserta kategori orang awam yang berjaya meraih tajaan daripada 30 peserta terpilih dalam negara akan dinilai oleh juri pertandingan di pentas akhir peragaan pada 27 Mac 2022 di Sungei Wang Plaza, Kuala Lumpur.

“Program itu memberi peluang kepada kami untuk meningkatkan pengetahuan dalam selok-belok dunia keusahawanan melalui perkongsian ilmu dan pengalaman oleh tokoh usahawan terkemuka yang meraih kejayaan dalam pasaran negara sehingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here