KUALA LUMPUR, 18 Mac — Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dijangka akan mewujudkan lencongan perdagangan dengan lebih banyak negara memindahkan sumber mereka ke rantau Asia Pasifik termasuk Malaysia, dalam persekitaran pertumbuhan ekonomi global yang mencabar dan turun naik yang berterusan akibat ketegangan geopolitik Rusia-Ukraine.

Pengarah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bagi ASEAN dan Oceania Raja Badrulnizam Raja Kamalzaman berkata RCEP akan menjadi lebih menarik untuk kebanyakan negara seperti negara dalam Kesatuan Eropah untuk menjalankan perdagangan dengan lebih banyak negara yang stabil.

“Kami berharap perdagangan akan berkembang dan kami menjangka untuk menerima lebih banyak pertanyaan dari negara-negara yang pernah mendapatkan sumber dari Ukraine dan Rusia, terutamanya untuk komoditi,” katanya kepada Bernama selepas seminar ‘China-ASEAN in RCEP Implementation: Are Businesses Ready for RCEP’ hari ini.

Bagi Malaysia, katanya penting untuk menempatkan negara di landasan yang tepat untuk meraih manfaat daripada RCEP walaupun terdapat ketidaktentuan global.

“Sudah tentu, peperangan akan memberi sedikit impak kepada perdagangan tetapi kita tidak terlalu terdedah kepada Ukraine berikutan perdagangan kita dengan negara itu hanya kira-kira 0.2 peratus, tetapi impaknya akan dirasai dari segi harga komoditi kerana Ukraine merupakan antara pembekal terbesar komoditi,” katanya.

Raja Badrulnizam percaya angka perdagangan Malaysia akan meningkat dengan ketara dengan pakatan perdagangan RCEP berkuat kuasa untuk Malaysia, yang akan memberi lebih banyak manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana tempatan.

Perjanjian RCEP berkuat kuasa untuk Malaysia hari ini, memberi laluan kepada negara untuk disepadukan dalam Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) yang terbesar di dunia melibatkan 15 negara, dengan jumlah penduduk melebihi 2.2 bilion.

“Walaupun sebelum RCEP, angka perdagangan pada 2021 dengan negara-negara FTA menunjukkan peningkatan sebanyak 25.3 peratus, dengan eksport meningkat 24.1 peratus manakala import naik 26 peratus,” katanya. 

Mengenai program berkaitan RCEP, katanya MATRADE akan melaksanakan 53 peratus daripada program eksport promosi perdagangannya di negara-negara RCEP sepanjang tahun ini.

“Kami melihat kepentingan menjalankan program untuk RCEP berikutan perjanjian itu akan turut menawarkan pelaburan rentas sempadan, selain perdagangan dengan rakan kongsi ASEAN dan FTA,” katanya.

Daripada program itu, katanya sebanyak 14 program mengenai hal ehwal perdagangan, lapan program mengenai hubungan eksport, lima program mengenai program penyumberan antarabangsa untuk membawa pembeli dari rantau RCEP ke Malaysia dan dua program mengenai misi pelaburan perdagangan yang diketuai oleh menteri.

“Dengan liputan Malaysia yang kini semakin berkembang di peringkat antarabangsa, perjanjian RCEP akan menjadi pemangkin kepada negara untuk perdagangan dan pelaburan berkembang lebih luas dalam tempoh pemulihan pasca pandemik,” katanya.

Antara dimensi yang perlu diberi perhatian, katanya sektor yang menerima manfaat seperti makanan dan perniagaan tani serta elektrik dan elektronik, liberalisasi dan kemudahan perdagangan, pelaburan serantau dan ekonomi digital.

RCEP telah ditandatangani antara 15 negara pada 15 Nov, 2020, selepas melalui 31 pusingan rundingan sejak lapan tahun lepas. 

Negara-negara tersebut ialah Malaysia, Brunei, Singapura, Vietnam, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Thailand, China, Korea Selatan, Australia, Jepun dan New Zealand.

Secara keseluruhannya, negara-negara tersebut menyumbang hampir satu pertiga daripada populasi global dan Keluaran Dalam Negara Kasar dunia.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here