KUALA LUMPUR, 20 Mac — Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah kepada Hospital Tunku Azizah (HTA) Kuala Lumpur atas kejayaan pembedahan pemisahan pasangan kembar siam pramatang pertama negara.

Menerusi catatan di laman Facebook Istana Negara, Seri Paduka berdua turut menzahirkan rasa sukacita dan bangga atas kejayaan itu yang sekali gus turut mencipta sejarah sebagai pembedahan pertama seumpamanya di Malaysia.

Pembedahan pasangan kembar berusia 17 hari itu, yang dilaksanakan dengan jayanya semalam, diketuai Datuk Dr Zakaria Zahari dan membabitkan 13 doktor pakar termasuk enam pakar bedah kanak-kanak dari seluruh negara serta hampir 20 jururawat dan staf dewan bedah kanak-kanak.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah turut menzahirkan rasa syukur apabila pasangan bayi kembar siam jenis Omphalophagus itu berjaya dipisahkan tanpa komplikasi.

“Seri Paduka berdua turut mendoakan agar pasangan bayi kembar siam tersebut berada dalam keadaan yang baik dan segera pulih serta dapat menjalani kehidupan seperti kanak-kanak lain,” menurut catatan itu.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here