KUALA LUMPUR, 24 Mac — Tenaga Nasional Berhad (TNB) meneruskan inisiatif dengan memberi tajaan RM1.5 juta kepada Yayasan Kebajikan Negara (YKN) bagi projek Better Brighter Anjung Kasih YKN keempat, di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II) Kota Bharu, Kelantan. 

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB Datuk Ir Baharin Din berkata tajaan untuk menaik taraf infrastruktur penginapan sementara yang selamat lagi selesa di hospital kerajaan itu meliputi kos baik pulih bangunan, peralatan dan kelengkapan serta biaya penyelenggaraan bagi tempoh lima tahun bermula 2023 hingga 2028. 

“Penyediaan kemudahan tersebut adalah antara komitmen TNB dalam mengutamakan kesejahteraan rakyat, khususnya waris dari luar bandar, yang kurang berkemampuan untuk menyewa penginapan, serta tidak mampu menampung kos ulang-alik pengangkutan bagi rawatan susulan atau menunggu giliran pembedahan.

“Tanpa kemudahan ini, ada waris pesakit yang terpaksa menjadikan tepi katil wad, lobi hospital, surau, ruang menunggu dan kawasan lain di persekitaran hospital sebagai tempat untuk berehat dan tidur, sementara menemani ahli keluarga yang sedang menjalani rawatan di wad hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata tajaan bagi kemudahan percuma di Anjung Kasih HRPZ II itu dapat menampung sehingga 60 orang penginap pada satu-satu masa berbanding ruang sedia ada yang hanya boleh digunakan 20 orang tanpa ruang rehat yang sempurna. 

Penyerahan cek tajaan disempurnakan di dewan auditorium hospital berkenaan pada 17 Mac lepas, yang turut dihadiri Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN Datuk Seri Rina Mohd Harun. 

Hadir sama, Pengarah HRPZ II, Kota Bharu Datuk Dr Selasawati Ghazali, Ketua Pegawai Eksekutif YKN Nordina Haron dan Ketua Pegawai Global Business Solutions TNB Ahmad Hushairi Ibrahim. 

Sebelum ini, TNB melalui inisiatif tanggungjawab korporat (CR) memberi tajaan dengan menaik taraf tiga rumah transit iaitu Better Brighter Dormitory IJN Foundation di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur (2017); Better Brighter Anjung Kasih YKN @ Hospital Serdang, Selangor (2018) dan Better Brighter Anjung Kasih YKN Hospital Melaka (2020). 

TNB adalah Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) pertama yang menaja kerja-kerja naik taraf rumah transit kendalian YKN di hospital kerajaan, di mana budaya korporatnya sentiasa mengambil berat keperluan rakyat dalam beberapa bidang meliputi pendidikan, sosio ekonomi, sukan dan alam sekitar. 

Baharin memaklumkan di IJN, lebih 40,000 ahli keluarga pesakit mendapat manfaat daripada kemudahan tersebut manakala di Hospital Serdang pula lebih 800 ahli keluarga pesakit turut sama mendapat faedah tersebut. 

Katanya, sikap prihatin terhadap kesejahteraan rakyat ini adalah manifestasi usaha memperkasa komitmen TNB terhadap Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) yang menjadi pertimbangan masa kini para pemegang taruh dan para pelabur. 

“Ia menepati agenda Matlamat Pembangunan Lestari (SDG – Sustainable Development Goals) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang antaranya menyasarkan manusia dapat menikmati kemakmuran melalui keseimbangan ekonomi, sosial dan alam sekeliling,” katanya. 

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here