KUALA LUMPUR, 29 Mac — Seramai 108 pengunjung pusat hiburan tidak berlesen di Cheras, di sini dikompaun berjumlah RM108,000 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 dalam serbuan tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Cheras ACP Muhammad Idzam Jaafar berkata kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Peraturan 17(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021.

Katanya, dalam serbuan ke atas premis yang beroperasi di Cheras Business Centre pada pukul 12.15 tengah malam, pihaknya turut menahan tiga lelaki kerana menjalankan perniagaan, menjual minuman keras tanpa lesen dan menggajikan pekerja asing tanpa permit.

“Tangkapan melibatkan seorang lelaki warganegara yang merupakan pengurus pusat hiburan berkenaan dan dua pekerja lelaki bukan warganegara, mereka berumur antara 26 hingga 42 tahun dan siasatan lanjut mendapati kesemua suspek tidak mempunyai rekod (kesalahan) lampau dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hiburan Wilayah Persekutuan 1992, Seksyen 76 Akta Eksais 1976, Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63 dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Muhammad Idzam berkata dalam serbuan berkenaan, pihaknya turut merampas kelengkapan dan barangan seperti seunit Digital Echo AV Amplifier, seunit pembesar suara, dua mikrofon tanpa wayar dan lima botol minuman keras pelbagai jenama.

Muhammad Idzam memohon kerjasama daripada orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkaitan pelanggaran SOP PPN Fasa 4 bagi memutuskan rantaian wabak COVID-19.

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here